KOMENTAR | BlackRock: Pembangkang mahu jadikan M'sia ekonomi komunis?
KOMENTAR | China merupakan musuh besar perdagangan Amerika Syarikat. Secara ideologi politik, China adalah negara komunis, di samping Amerika pula mengamalkan demokrasi dengan dasar ekonomi pasaran.
Sejak membuka pintu pasaran kepada dunia sekitar lima dekad lalu, China terus meluncur menciptakan kekuatan baru. Dasar ekonomi terbuka yang diumumkan presiden Deng Xiaoping pada penghujung 1970an mula membuahkan hasil pada 1990an dan dekad-dekad seterusnya.
Ketika seorang taikun pelaburan Amerika Syarikat yang bernama Warren Bufett mahu membeli saham ke China, dia turut dikritik segelintir orang Amerika yang cetek akalnya, tapi beremosi.
Buffet dituduh konon tidak patriotik selain dikatakan cuba membantu memperkukuh lagi ekonomi China.
Memang ada orang Amerika yang hidup dalam khayalan nasionalisme yang diciptakan mantan presiden Donald Trump — mereka tidak berpijak pada realiti bahawa bukan semua perkara boleh dilawan dan berjaya dalam satu malam.
Akhirnya Trump kalah dan di sisi lain, Buffet menang. Buffet telah membeli saham di dalam syarikat pembuat bateri BYD yang ketika itu masih bertatih-tatih belajar membuat kereta.
Naluri pelaburan Buffet terbukti benar dengan hari ini BYD muncul sebagai syarikat kereta eletrik dengan jualan tertinggi di dunia. Keuntungan yang diraih Buffet juga dapatkan menguntungkan Amerika dalam bentuk cukai.
Tidak sekadar itu, syarikat kereta China yang lain seperti XPeng dan Li Auto juga disenaraikan di bursa saham New York. Beberapa syarikat seperti AliBaba juga terlebih dahulu melakukannya, dengan kini sejumlah 287 syarikat-syarikat China berada di papan atas bursa saham Amerika.
Pada saat makna pasaran terbuka diterima di antara dua gergasi dunia, China dan Amerika - yang bermusuh - di Malaysia terdengar suara-suara agar syarikat tertentu diharamkan untuk berdagang dengan negara ini. Nama BlackRock pun disebut-sebut.
Walaupun sudah dijelaskan bahawa pembelian saham oleh Gateway Development Alliance (GDA) melalui Global Infrastructure Partners (GIP) bagi MAHB tidak ada kena mengena secara langsung dengan BlackRock namun isu ini tetap cuba ditunggangi blok pembangkang.
Di sisi lain dikaitkan pula cerita pembunuhan rakyat Palestin di Gaza agar naratif yang hendak dibawa nampak lebih dramatik serta mudah mencuit sentimen masyarakat Melayu-Islam. Walhal ia dua isu yang berbeza.
Pegangan saham asing dalam syarikat strategik negara sudah dibincangkan sejak puluhan tahun lalu. Bezanya dengan era penjajahan di Asia Tenggara pada abad ke-18 dan 19 ialah, pelaburan-pelaburan milik peniaga pribumi dihancurkan, di samping pelaburan milik syarikat penjajah Eropah-Barat dibangunkan. Hanya mereka yang dibenarkan berniaga.
Selepas merdeka, kerajaan menyedari bahawa prinsip pemilikan perniagaan strategik wajar menjadi milik dan dapat dikawal oleh negara dengan sasaran bukan sahaja untung, tapi juga dapat berkembang. Dalam bisnis, kalau untung sahaja juga tidak bijak kalau tidak boleh berkembang.
Bagi mendapat maksud itu caranya ialah dengan memastikan syarikat-syarikat milik kerajaan menguasai majoriti dan sebahagian besar saham dalam harta dan perniagaan strategik.
Anak-anak muda di media sosial pun sudah membidas semua fakta dan logik puak pembangkang.
Antaranya ialah dengan fakta pegangan saham Khazanah-KWSP sejumlah 70 peratus dalam MAHB manakala GIP hanya 30 peratus. Terlebih lagi tawaran sesaham oleh GIP ialah RM11 berbanding harga saham MAHB sekitar RM9 sahaja.
Skandal Bank Bumiputera
Kalau penyusunan semula MAHB ini berjaya, Khazanah-KWSP akan segera mendapat durian runtuh dengan keuntungan sekitar RM3 sesaham, di samping pegangan ekuiti juga bertambah menjadi lebih 10 peratus berbanding sekarang.
Tidak ada pakar pelaburan yang membantah usaha ini, melainkan kelompok pembangkang yang tersakiti sahaja.
Kali ini MAHB bukanlah membuat keputusan pelaburan besar melalui agen luar sepertimana yang pernah berlaku dalam kes Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB) selepas Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri pada 1980an dahulu.
Di sana pernah terjadi skandal besar anak syarikat BBMB, iaitu Bumiputera Malaysia Finance (BMF) dalam pembelian hartanah di Hong Kong. Dilaporkan juga ada jenayah berat iaitu pembunuhan rentetan skandal berkenaan.
Tentulah orang-orang Melayu sangat kecewa apabila sebuah bank dengan nama “Bumiputera” yang diharap menjadi kebanggaan bangsa ranap begitu sahaja. Sampai hari ini, kes berkenaan kekal misteri.
Kalaulah kita menghalang GIP membeli saham MAHB, ia samalah seperti kita tidak boleh memakai seluar jeans hanya semata-mata pemimpin Yahudi juga memakai seluar jeans!
Perbandingan lain, apakah kita terpaksa memboikot mana-mana siaran radio hanya kerana di dalam kontinya ada penyampai yang dilantik sebagai lembaga pengarah syarikat yang juga sebahagian saham syarikat yang melantiknya ada dana BlackRock?
Pemikiran dangkal dan simplistik ala pembangkang sebeginilah yang memerangkap banyak rakyat di negara-negara mundur dan membangun yang akhirnya memilih sistem ekonomi komunis.
Mereka bukan sekadar mahukan harga telur turun 3 sen, tetapi memaksa kerajaan memberikan telur percuma walaupun rakyat terpaksa mengorbankan kebebasan mereka.
Diunjurkan pegangan asing terhadap syarikat-syarikat Malaysia hari ini bernilai lebih RM30-RM40 bilion. Kalau kesemua syarikat berkenaan perlu mencantas pegangan saham asing sudah tentu mereka akan terlungkup. Ekonomi Malaysia juga akan runtuh.
Perangkap awal untuk menjadikan Malaysia negara ekonomi Komunis yang sedang dipasang puak pembangkang ialah isu pembelian saham MAHB oleh GIP itu tadi.
Bela nasib Palestin
Konon hari ini isu penderitaan rakyat Palestin dijadikan perisa penyedapnya, pada waktu lain akan diberikan pula perisa berbahaya lain sehingga Malaysia akhirnya tidak dapat berdagang dengan dunia luar sama sekali.
Lihatlah contoh negara-negara komunis yang gagal sepertimana Korea Utara, Cuba, bahkan di Asia Tenggara seperti Vietnam dan Kemboja satu masa dahulu.
Ketika Malaysia sudah terjerumus dalam lingkaran syaitan ekonomi komunis itu nanti, jangankan hendak membela nasib rakyat Palestin, nasib rakyat kita sendiri juga akan sangat melarat dan sengsara.
‘Telur sebiji pun tak ada’ seperti di era PM Muhyiddin Yassin tempohari.
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai