Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Tak hadir periksa: KPM cadang guna bimbingan 'edufluencer'

PARLIMEN | Masalah keluarga dilihat antara faktor utama menyumbang kepada statistik lebih 10,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata masalah itu juga antara punca ketidakhadiran luar kawalan yang dikenal pasti oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Berdasarkan analisis KPM, antara punca ketidakhadiran luar kawalan KPM yang dikenal pasti adalah seperti calon bekerja, masalah keluarga, kemalangan, sakit dan juga faktor-faktor yang lain,” katanya di Dewan Rakyat.

Wong Kah Woh

Menurut Wong, KPM sentiasa berusaha meningkatkan kehadiran murid ke sekolah dan juga kehadiran murid ke SPM dengan beberapa intervensi.

Antaranya, dengan  mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 1 Tahun 2019: Panduan Pengurusan Rekod Sistem Kehadiran Murid Di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menegaskan rekod kehadiran murid, anak-anak ke sekolah.

“Selain itu, memberi peringatan kepada jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) untuk memantau kehadiran.

“Serta mengoptimumkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah melalui program pembangunan diri murid dan mengetengahkan pempengaruh pendidikan atau edufluencer berkepakaran dalam bidang bimbingan dan kaunseling bagi berkongsi ilmu dan juga pengalaman,” katanya.

Jelas Wong, KPM juga yakin dengan usaha berterusan dan komitmen semua pihak memastikan peningkatan kehadiran calon dalam peperiksaan SPM akan dapat membantu mengatasi masalah sedia ada.

Pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2023 Mei lalu, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, daripada 383,685 calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan awam itu, hanya 373,525 calon hadir dengan 93.5 peratus daripadanya layak mendapat sijil SPM.