Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Naib Presiden PKR rayu orang ramai bantu wartawan muflis akibat disaman

Naib Presiden PKR, Saraswathy Kandasami meminta orang ramai menghulur bantuan bagi meringankan beban bekas wartawan Tamil Malar, yang jatuh muflis akibat disaman.

Ini selepas bekas wartawan berkenaan, Rajes Maniamaran gagal membayar saman berjumlah RM295,868.75 yang difailkan Pengerusi Maha Mariamman Devasthanam, Nadraja Ratnam.

“Sokongan ini bukan sahaja untuk membantu kewangan Rajes akan tetapi sebagai tanda sokongan akan hak kebebasan bersuara wartawan.

“Kita harus menghargai wartawan yang telah menulis artikel yang berfokus pada isu akauntabiliti sebuah institusi keagamaan,” kata Saraswathy dalam sidang media hari ini.

Pada tahun 2015, Peguam Manogaran Malayalam memfailkan saman sivil terhadap Nadraja, serta meminta beberapa pengisytiharan daripadanya.

Saman tersebut berkaitan kedudukan Nadraja sebagai pengerusi Maha Mariamman Devasthanam, yang merupakan badan pengurusan bagi tiga kuil Hindu.

Dalam artikel yang ditulisnya, Rajes melaporkan afidavit yang belum dibaca di mahkamah dan belum menjadi dokumen awam mengikut undang-undang.

Saman Manogaran kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi, antara lain kerana tiada locus standi.

Pada masa sama, Nadraja memfailkan saman fitnah terhadap beberapa pihak termasuk Rajes dan Tamil Malar.

Sementara itu Saraswathy yag juga ahli Dewan Negara berkata pengiystiharan muflis terhadap Rajes menyebabkan akaun banknya dibekukan dan permohonan untuk pinjaman perumahan juga ditolak.

Saraswathy turut menambah Rajes diminta membayar RM800 sebulan kepada Jabatan Insolvensi sebagai sumbangan terhadap hutang penghakiman.