Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

KOMENTAR l Panggilan kejut desentralisasi Johor

KOMENTAR l Gesaan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim agar Johor dilayan sebagai rakan kongsi setara persekutuan adalah satu panggilan kejut buat  agenda nasional desentralisasi.

Agenda itu harus berasaskan asimetri federalisme - bahawa Sabah dan Sarawak mesti mempunyai lebih kuasa berbanding negeri lain - dan dipermudahkan melalui rundingan pelbagai hala antara kerajaan persekutuan dan semua kerajaan negeri.

Desakan untuk menjadikan Johor setanding dengan Sabah dan Sarawak secara ironinya mendedahkan kepincangan naratif "perkongsian sama rata" yang telah diterima asalnya oleh ahli politik Semenanjung Malaysia Barat yang memerlukan sokongan rakan mereka daripada Sabah dan Sarawak.

Naratif perkongsian sama rata

Bolehkah sesebuah negeri menjadi rakan kongsi persekutuan? Jawapannya bergantung kepada takrifan perkongsian.

Jika perkongsian merujuk kepada hubungan antara kerajaan, maka jawapannya, sudah tentu, ya. Kerajaan negeri adalah rakan kongsi, bukan bawahan kerajaan persekutuan. Negeri-negeri bukan milik Malaysia tetapi sebaliknya, Malaysia adalah milik semua negeri.

Walau bagaimanapun, apabila Sabah, Sarawak, dan kini Johor, bercakap tentang menjadi rakan kongsi yang sama kepada persekutuan, mereka bermaksud bahawa kerajaan persekutuan mewakili semua negeri lain kecuali mereka.

Apabila Sabah dan Sarawak bercakap tentang perkongsian sama rata, persekutuan dikurangkan menjadi hanya Malaya. Dan apabila Johor pula bercakap tentang perkongsian sama rata, persekutuan itu dikurangkan lagi menjadi Malaya tanpa Johor.

Jika ini masuk akal, mengapa tidak semua 10 negeri lain membuat dakwaan sama bahawa mereka juga adalah rakan kongsi?

Akhirnya, yang tinggal dalam persekutuan? Tiga wilayah persekutuan? Adakah Malaysia menjadi perkongsian 13 negeri dan kerajaan persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya?

Falasi atau salah anggapan itu jelas nyata.

Ramai di Sabah dan Sarawak tidak bersetuju Johor diangkat menjadi setanding dengan Sabah dan Sarawak tetapi mereka ingin mempertahankan idea Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama kepada persekutuan.

Analogi yang salah - UK

Naratif "perkongsian sama rata" ada kalanya berakar umbi kepada analogi di United Kingdom (UK).

Mengikut analogi ini, Sabah dan Sarawak adalah serupa dengan Scotland dan Wales manakala kerajaan persekutuan adalah ibarat kerajaan pusat UK yang juga mewakili England.

(UK secara rasmi mengiktiraf dirinya sebagai kesatuan "empat negara". Ireland Utara tidak relevan dalam analogi ini kerana Malaysia tidak mempunyai negeri atau wilayah yang mahu penyatuan dengan negara lain.)

Analogi ini jelas menarik dan memberi inspirasi kepada rakyat Sabah dan Sarawak atas tiga alasan.

Pertama, kedua-dua Scotland dan Wales mempunyai identiti budaya yang berbeza dan gerakan pemisah. Sama seperti beberapa penyokong nasionalis Scotland menolak Perjanjian Kesatuan 1707 antara England dan Scotland sebagai "membuli, rasuah dan pengkhianatan", beberapa nasionalis Borneo pula mendakwa bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kini terbatal dan tidak sah.

Kedua, untuk menghalang pemisahan Scotland dan Wales, kerajaan kebangsaan UK memulakan penurunan kuasa, menubuhkan badan perundangan serantau, dan juga mengadakan referendum mengenai kemerdekaan Scotland pada 2014.

Ketiga, penyokong yang memperjuangkan nasionalisme Scotland dan Wales, parti nasionalis telah meningkat dari semasa ke semasa.

Parti Kebangsaan Scotland (SNP) kini memegang majoriti di Parlimen Scotland dan memenangi 80 peratus kerusi Scotland pada pilihan raya Dewan Rakyat UK 2019.

Malangnya, analogi ini tidak sesuai buat Malaysia kerana Malaya bukan England.

England tidak mempunyai Parlimen sendiri mahupun kerajaan wilayah yang dipilih (kecuali Greater London) yang setaraf dengan Scotland, Wales dan Ireland Utara. Jadi, kerajaan UK juga adalah kerajaan bagi England.

Di sinilah Malaysia berbeza. Semasa pembentukan Malaysia dirundingkan oleh Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura, sebaik sahaja Malaysia dibentuk, Persekutuan Tanah Melayu secara serentak dibubarkan. 11 negeri di Malaya muncul semula sebagai entiti separa berdaulat dalam persekutuan yang lebih besar.

Dengan kata lain, Sabah, Sarawak, dan kini Johor, tidak boleh menolak negeri lain sebagai diwakili atau dimiliki oleh kerajaan persekutuan tanpa suara mereka sendiri.

Kebimbangan rakyat di Sabah dan Sarawak bahawa mereka tidak akan mendapat perjanjian yang adil jika mereka setanding dengan semua 11 negeri di Malaysia boleh difahami. Tetapi menafikan negeri-negeri lain hak mereka sendiri sebagai entiti berasingan daripada kerajaan persekutuan adalah tidak berlandaskan perlembagaan dan tidak berdaya maju dari segi politik.

[Baca berita penuh]


WONG CHIN HUAT adalah seorang pensyarah sains politik di Universiti Sunway dan ahli Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek Sama). 

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.