ULASAN l Tidak mudah jadi wartawan
ULASAN l Sejak beberapa tahun lalu, saya telah menulis mengenai pengalaman saya sebagai wartawan bagi mengingati ulang tahun saya menceburi bidang ini.
Semalam, 16 Jun 2024, genap 55 tahun saya menjadi wartawan, bermula sebagai wartawan kadet atau "cub reporter" di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Dalam tempoh itu, saya telah menggunakan pelbagai jenis teknologi komunikasi, berdepan dengan banyak generasi dan di bawah sembilan orang Perdana Menteri - dari Tunku Abdul Rahman kepada Anwar Ibrahim.
Daripada mesin taip kepada komputer riba, telefon putar kepada telefon pintar, daripada analog kepada digital, daripada agensi berita kepada surat khabar dan seterusnya blog, Facebook dan berbagai-bagai lagi.
Saya menulis mengenai alam dan manusia, berinteraksi dengan generasi ledakan Krakatoa (1883), generasi Perang Dunia Kedua, "baby boomers" yang lahir lepas itu seterusnya generasi X, millennials dan Z.
Alhamdulillah saya dianugerahi umur yang panjang. Ogos ini genaplah 77 tahun.
Saya lahir tahun 1947. Masa itu belum ada statistik mengenai jangka hayat bagi rakyat Malaysia. Pada 1950 baru ada. Jangka hayat bagi bayi yang dilahirkan di Malaya waktu itu (1950) adalah 52.8 tahun. Bagi bayi yang dilahirkan tahun ini (2024), jangka hayatnya adalah 76.70 tahun.
Dalam masa 55 tahun menjadi wartawan itu, saya dipuji, dimaki, dihormati, dibenci, dibagi anugerah, dibuat macam sampah dan bermacam-macam lagi.
Sekarang digelar pula saka tua dan didoakan agar mati segera. Namun saya terus layan mereka. Manalah tahu, mereka berubah menjadi orang berilmu dan berakhlak mulia.
Saya ada banyak kenalan tetapi tidak ramai kawan. Apabila menulis yang baik, kitalah kawan. Tetapi apabila menulis yang buruk, kawan bertukar menjadi lawan.
Ketika ada kedudukan dan diterima politik, ramailah yang hendak berkenalan dan minta pertolongan. Namun, buat saya, menjadi "politically correct" dan banyak kawan bukanlah matlamat dan keutamaan.
Kesimpulannya, tidaklah mudah menjadi wartawan seperti yang terkandung dalam idealisme novelis dan dramatis Perancis, Marguerite Duras (1914-1996).
Katanya, "Journalism without a moral position is impossible. Every journalist is a moralist. It's absolutely unavoidable." (Kewartawanan tanpa pendirian moral adalah mustahil. Setiap orang wartawan adalah moralis. Ia langsung tidak boleh dielakkan).
Demikian jugalah mengenai wartawan dan pengarang yang tidak habis-habis merungut mengenai kurang kebebasan media sedangkan mereka tidak menulis apa-apa pun yang mencabar atau menguji sempadan kebebasan.
A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.
Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dengan tajuk ‘Pendirian Moral Dalam Kewartawanan’. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai