Lawatan Li Qiang eratkan lagi hubungan Malaysia-China
Lawatan Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia minggu ini memberikan peluang besar untuk memperkukuhkan lagi hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua negara sejak 50 tahun lepas sekali gus membuka peluang untuk jalinan kerjasama baharu.
Penasihat utama di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia Dr Oh Ei Sun berkata hubungan Malaysia-China yang terjalin telah berkembang daripada hubungan diplomatik hingga kepada interaksi ekonomi yang meluas dalam perdagangan dan pelaburan.
“China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dan Malaysia secara konsisten menjadi rakan dagang terbesar di Asia Tenggara. Asas kukuh ini menyediakan peluang terbaik untuk kerjasama yang lebih erat,” katanya kepada Bernama.
Li Qiang, yang memegang jawatan Perdana Menteri China pada Mac tahun lepas, dijadualkan melawat Malaysia dari 18 hingga 20 Jun.
Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu berkata lawatan Li Qiang menawarkan potensi untuk meningkatkan kerjasama khususnya dalam rangka kerja Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), bagi memudahkan projek bersama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Contohnya, Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) menghubungkan Malaysia dan Singapura memerlukan pelaburan dan teknologi pembinaan yang boleh memberi manfaat bersama kedua-dua negara. Jika landasan kereta api itu dikaitkan dengan China, hubungan perdagangan akan dipertingkatkan,” kata Presiden Persahabatan Malaysia-China Sabah (MCFAS) itu.
Dalam bidang teknologi, melihat kepada minat Malaysia untuk memanfaatkan bantuan China dalam memajukan keupayaan kecerdasan buatan (AI), Oh mencadangkan agar lebih banyak universiti China menubuhkan kampus cawangan di Malaysia.
“Saya mengajar di Universiti Malaya pada semester lepas dan melihat ramai pelajar China di sana, jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk lebih banyak universiti China membuka kampus cawangan mereka di sini dan kita dari pihak Malaysia juga harus membuka kampus cawangan universiti di China yang akan meningkatkan penglibatan pendidikan kita,” katanya.
Sementara itu, Profesor di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Prof Dr Zaid Ahmad berkata pertemuan antara Li Qiang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan platform bagi memperkukuh komitmen bersama terhadap prinsip-prinsip diplomasi yang saling menghormati khususnya Malaysia sebagai negara berdaulat.
Zaid juga sependapat dengan Oh bahawa lawatan berkenaan memiliki potensi signifikan dalam meningkatkan kerjasama pembangunan teknologi digital seperti AI yang boleh dipelajari oleh Malaysia selain pendidikan.
"Kunjungan ini tidak hanya dapat memperkukuh hubungan bilateral dalam sektor pendidikan dan teknologi digital tetapi juga meningkatkan keupayaan Malaysia membangunkan dan menerapkan teknologi AI dalam negara,” katanya.
Sementara itu, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Prof Dr Azmi Hassan berkata lawatan rasmi Li Qiang ke negara ini adalah bukti untuk beliau memaktubkan hubungan diplomasi 50 tahun Malaysia-China di peringkat antara pemimpin dan pemimpin mahupun kerajaan dan kerajaan.
Beliau berkata keakraban itu perlu dimanfaatkan Malaysia untuk meningkatkan kerjasama dengan China khususnya menerusi BRI serta memuktamadkan segera Rundingan Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0.
“Apa yang kita perlukan termasuk teknologi AI dan melalui (ACFTA 3.0) China dapat memberi pertolongannya dengan harga yang kompetitif atau lebih murah berbanding negara-negara barat. Jadi saya lihat signifikannya pada kita supaya mempunyai kefahaman komprehensif yang strategik antara Malaysia-China dalam hal ini,” katanya.
Malaysia dan China mula menjalinkan hubungan dua hala secara rasmi pada 31 Mei 1974 menerusi Kenyataan Bersama yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China Chou En-Lai, ketika itu.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai