Modul latihan polis terbukti lahirkan anggota keselamatan cekap
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini berkata modul latihan semasa untuk merekrut polis baru terbukti berkesan untuk melahirkan anggota keselamatan yang mampu menangani situasi mencabar seperti insiden di Ulu Tiram bulan lalu.
Berucap kepada kadet polis dan pegawai kanan yang berkumpul di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur hari ini, Saifuddin berkata, anggota keselamatan terbabit terbukti menunjukkan keberanian, komitmen dan kemahiran yang tinggi pada detik genting.
“Hal ini memberi isyarat (petanda) modul latihan kita mampu melahirkan anggota polis yang mampu menguruskan situasi kritikal dengan kematangan luar biasa.
“Modul latihan yang diberikan tidak ubah seperti operasi (sebenar), cuti raya tidak boleh balik kampung bagi membiasakan mereka … hasilnya anggota yang lulus menjadi anggota kompeten,” katanya.
Dalam kejadian pada awal pagi 17 Mei lalu, dua anggota polis Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22; dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24; meninggal dunia diserang seorang lelaki dalam kawasan balai.
Seorang lagi anggota yang bertugas ketika itu, Korporal Mohd Hasif Roslan, pula cedera.
Penyerang terbabit turut maut ditembak.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata Islam mengajar umatnya agar sentiasa bersederhana dan menolak sebarang perbuatan ganas, zalim dan melampau.
Kenaikan buat anggota polis
Justeru, katanya, tindakan menyerang anggota keselamatan yang berkhidmat dalam negara yang dipimpin oleh orang Islam adalah melampau, justeru tidak boleh diberikan kewajaran walaupun dari sudut agama.
Apabila insiden di Ulu Tiram itu berlaku, katanya, siasatan polis menunjukkan ada pihak yang cuba menggunakan nama Islam bagi mewajarkan tindakan mereka walaupun bertentangan dengan ajaran Nabi Muhammad SAW.
"Maka menjadi tanggungjawab polis untuk mengurus keadaan, di samping pemerintah menyampaikan mesej kepada masyarakat terbanyak untuk menjauhi tindakan seumpama ini," katanya.
Pada majlis itu juga Saifuddin mengumumkan kenaikan pangkat dua anggota polis yang terkorban dalam insiden tersebut. Mereka diberikan kenaikan pangkat koperal.
Anugerah itu diterima waris Ahmad Azza dan Muhamad Syafiq. Selain itu mereka juga diberikan pampasan berjumlah lebih RM200,000 setiap seorang.
Tiga lagi kakitangan dari stesen Ulu Tiram - Mohd Hasif Roslan, Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa dan Muhammad Aznel Salleh - turut dinaikkan ke pangkat lebih tinggi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai