Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Saifuddin pertahan program taklimat kewarganegaraan

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan tindakan wakil rakyat membantu individu tiada kerakyatan di kawasannya dan menganggap isu tersebut tidak wajar dipolitikkan.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini, Saifuddin berkata, adalah biasa untuk seseorang wakil rakyat menerima pertanyaan berkaitan kerakyatan daripada orang awam.

Sebagai wakil rakyat pula, kata Saifuddin mereka perlu memberikan bantuan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah berkenaan, termasuk penerangan mengenai prosedur yang patut diambil.

"Apabila ada aduan, kita (wakil rakyat) akan buat surat recommendation (cadangan), hubungi Jabatan Pendaftaran Negara atau Kementerian Dalam Negeri untuk panjangkan permohonan.

"Ada juga dalam kalangan wakil rakyat yang terima permohonan banyak, (juusteru) mereka ambil inisiatif terangkan tatacara yang sepatutnya.

"Jadi, itu tugas wakil rakyat. Hari ni (misalnya) saya terima daripada wakil rakyat di Kelantan, beratus permohonan," katanya.

Dalam keadaan begitu, kata Saifuddin, tidak wajar jika ada pihak yang cuba memberi gambaran yang salah termasuk kononnya ada gerakan terancang untuk memberi kerakyatan kepada individu tertentu secara pukal.

Menjelaskan lanjut itu isu, Saifuddin menambah, pihak yang membuat tuduhan kepada kerajaan baru-baru ini bahkan seorang wakil rakyat juga.

"Pasir Mas, kalau tak silap. (Adakah) Dia tak buat kerja? Pusat khidmat dia tak pernah dapat permohonan?" katanya.

Beri ruang bantu rakyat

Untuk rekod Ahli Parlimen Pasir Mas ialah Ahmad Fadhli Shaari yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Pusat.

Saifuddin berkata, dia ada menerima permohonan kerakyatan daripada wakil rakyat Kelantan yang mewakili kawasan ramai didiami masyarakat keturunan Siam.

Di kawasan itu, katanya, banyak berlaku isu seperti perkahwinan atau anak yang bermasalah.

Semua itu, katanya, wajar diteliti dengan "kaca mata yang jernih" iaitu seseorang wakil rakyat cuba membantu penduduk yang diwakilinya mendapat kerakyatan secara sah.

Pada 9 Jun lalu Ahmad Fadhli mendakwa DAP sedang giat mengadakan program taklimat kewarganegaraan yang disifatkannya sebagai satu tindakan berbahaya.

Dakwa Ahmad Fadhli berkata program itu dilaksanakan bagi memudah cara mendapatkan dan diumpamakannya sebagai sedang ‘membakar negara’.

"Ada parti sedang bakar negara, rakannya pula bantu marakkan api," dakwanya.

Dia dipercayai merujuk kepada majlis anjuran DAP Pulau Pinang serta program dikendalikan Adun Stulang di Johor, Andrew Chen.

Bagaimanapun Chen kemudian memaklumkan program tersebut ditangguhkan ke tarikh yang belum ditetapkan.

Menurut Saifuddin, sangat tidak wajar untuk pihak lain menyuntik elemen sebegitu bagi langkah yang sepatutnya membantu orang ramai di kawasan tertentu.

"Ia hanya menyusahkan permohonan kerakyatan yang tulen.

"Bagi saya isu itu tak patut dipolitikkan sama sekali dan berilah ruang kepada wakil rakyat menjalankan tugas masing-masing," katanya.

[Baca berita asal]