Pengendali bas sekolah naikkan bayaran boleh hilang lesen, kata PM
Pengendali bas sekolah yang menaikkan kadar bayaran susulan penyelarasan subsidi berisiko untuk dibatalkan lesen mereka, menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
"Kamu diberi subsidi (tapi) kamu naikkan (bayaran), kamu jaga-jaga," tegas Anwar.
"Saya tidak tahu orang lain, tapi bagi saya, kalau kamu naikkan juga dalam keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu. Kalau tidak, anak-anak kita di sekolah terbeban.
"Kalau betul tak dapat (subsidi), mohon fleet card dan kita akan bayar," katanya lagi.
Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita di acara Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di Putrajaya, hari ini.
Pada 11 Jun lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pengendali bas sekolah dan bas ekspres tidak sepatutnya menaikkan kadar tambang susulan pelaksanaan penyelarasan subsidi diesel di Semenanjung Malaysia.
Dia berkata ini kerana mereka terus menikmati subsidi menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDB).
Diminta tangguh
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata beberapa pihak menasihatinya agar menangguhkan pengumuman penyelarasan subsidi diesel dengan mengambil kira PRK Sungai Bakap yang akan berlangsung.
"Ada orang cadangkan 'Anwar, tangguh lepas (PRK) Sungai Bakap'.
"Saya kata tidak, kita harus hadapi. Buat apa beri mesej yang salah (berkenaan subsidi)?" soalnya.
Katanya lagi, pentadbiran lalu sememangnya ingin melaksanakan dasar ini tetapi tidak bersedia melakukannya.
"Mereka, termasuk saya (PM) kesepuluh, setuju dengan (penyelarasan) subsidi. Tak ada yang tak setuju, tapi mereka tak sedia melakukannya kerana tahu masalah yang akan dihadapi," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai