PM: Kerajaan nak ambil sukarelawan, bukan lantik guru dari Singapura
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan cadangannyan untuk mengambil "guru Singapura" untuk mengajar Bahasa Inggeris dan subjek lain di Malaysia.
Menurut Anwar, perbincangannya dengan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong adalah berkenaan mewujudkan "skim bantuan" atau pengambilan sukarelawan untuk mengajar Bahasa Inggeris di kawasan miskin bandar, desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak.
"Bukan untuk lantik guru Bahasa Inggeris dari Singapura. Sukarelawan dibayar oleh pemerintah Singapura...
"Saya nak jalinkan hubungan lebih baik antara negara kita dengan Thailand, Singapura, Brunei dan Singapura - jiran-jiran penting kita," katanya ketika ditemui pemberita di acara Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di Putrajaya, hari ini.
Pada Rabu lalu, Anwar mengadakan pertemuan dengan Wong bagi mengukuhkan hubungan dua hala ketika kunjungan pertama perdana menteri republik itu ke Malaysia, selepas mengangkat sumpah pada 15 Mei lalu.
Menurut Bernama, dalam pertemuan empat mata itu, Anwar berkata mereka membincangkan kemungkinan untuk Singapura menghantar guru ke Malaysia untuk mengajar Bahasa Inggeris dan subjek lain.
Anwar berkata dia juga gembira apabila Wong setuju untuk mempertimbangkan perkara itu bagi meningkatkan kemahiran pelajar di Malaysia, khususnya dalam Bahasa Inggeris.
Namun beberapa pihak mengkritik cadangan itu atas dasar Malaysia sudah ada ramai guru subjek itu yang berkemampuan.
Hari ini, Anwar menjelaskan dia turut membuat tawaran sama kepada negara lain.
"Ada yang cakap tak hormat kaum sendiri, bawa komunis dari Singapura. Kita beri (tawaran) pada semua negara.
"Ada universiti di Uzbekistan...Kalau (negara itu) nak hantar pelajar ke sini, saya kata baik juga kalau kita hantar pensyarah ke sana untuk tengok perubahan yang berlaku di sana.
"Dengan Jepun pula, saya berbincang dengan Perdana Menteri Fumio Kishida," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai