Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Disangka hilang, kakak dakwa AADK cekup adik tak ikut SOP

Seorang wanita mendakwa adiknya - yang pada mulanya disangka hilang - ditahan pegawai Agensi Anti Dadah (AADK) tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Syaida Ilmuna Ismail, 33, berkata dalam kejadian semalam, adik lelakinya, Muhammad Daanish Ismail, 22, yang bekerja sebagai jurugambar dihampiri dua lelaki yang menaiki motosikal ketika berjalan menuju stesen MRT Taman Maluri selepas pulang dari kerja.

Dakwanya, dua lelaki itu tidak memperkenalkan diri mereka sebagai anggota AADK sebaliknya terus meminta kad pengenalan adiknya sehingga terjadi pergelutan antara mereka sebelum adiknya digari akibat enggan menyerahkan kad pengenalan seperti yang diminta.

"Dia enggan menyerahkan kad pengenalannya dan cuba melarikan diri kerana menyangka mereka adalah perompak.

"Lepas digari, baru mereka memperkenalkan diri sebagai anggota AADK," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selain itu, Syaida juga mendakwa adiknya tidak dibenarkan menghubungi keluarga sepanjang ditahan.

"Mengapa mereka (AADK) rampas telefon adik dan tak benarkan dia hubungi keluarga?” soalnya.

Katanya lagi, adiknya turut mendapat kecederaan di tangan akibat dari pergelutan tersebut.

Dalam kenyataan media petang ini, AADK bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa pihaknya telah mematuhi SOP seperti yang ditetapkan dalam Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Merujuk kepada hantaran Syaida yang tular di X, AADK menjelaskan pada 11 Jun 2024, sekitar jam 6 petang, pihaknya telah menahan seorang individu lain yang diklasifikasikan sebagai Orang Yang Di Syaki (OYDS) pada satu operasi di Jalan Jejaka 4, Taman Maluri, Kuala Lumpur.

Kata AADK penahanan tersebut dibuat dengan SOP yang betul iaitu memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa.

Namun, kata AADK, ketika penahanan OYDS itu, terdapat seorang lagi individu - merujuk kepada Muhammad Daanish - yang berada di lokasi sama dalam “keadaan mencurigakan”.

AADK dakwa cuba larikan diri

Kata AADK, Muhammad Daanish bertindak cuba melarikan diri apabila pegawai AADK cuba mendekatinya dan memperkenalkan diri sebagai pegawai AADK.

AADK juga mendakwa setelah Muhammad Daanish ditahan, dia cuba melarikan diri buat kali kedua dengan menolak seorang pegawai mereka.

"Tindakan itu menimbulkan kecurigaan yang munasabah sehingga membawa kepada penangkapan individu berkenaan dan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Cheras untuk tindakan dokumentasi serta ujian bagi mengenal pasti sama ada dia penagih ataupun tidak," kata agensi itu dalam satu kenyataan petang tadi.

Agensi itu turut mengesahkan bahawa individu yang digambarkan cuba melarikan diri itu adalah Muhammad Daanish.

AADK berkata tindakan menggari Muhammad Daanish dibuat sebagai respons kepada tindakannya yang cuba melarikan diri.

Menjawab dakwaan merampas telefon dan tidak memberi kebenaran untuk menghubungi keluarga, AADK menjelaskan bahawa penahanan itu dibuat kurang daripada tempoh 24 jam dan tindakan tersebut masih mematuhi SOP yang ditetapkan.

"AADK mengakui tindakan dokumentasi telah mengambil masa tertentu disebabkan jumlah bilangan tangkapan dibuat pada kadar yang ramai.

"Namun proses penahanan individu tersebut adalah tidak melebihi tempoh 24 jam dan masih mematuhi SOP yang ditetapkan dan AADK mengambil serius berkenaan tatakelola pegawai dan akan lebih berhati-hati ketika menjalankan tugas," katanya lagi.

Buat laporan polis hilang

Dalam pada itu, menceritakan kronologi adiknya yang disangka 'hilang', Syaida berkata dia telah membuat satu hantaran di laman X meminta bantuan orang ramai untuk mencari Muhammad Daanish pada jam 9.30 malam hari yang sama setelah ibunya memberitahu Muhammad Daanish gagal dihubungi.

"Ketika ibu beritahu adik tidak dapat dihubungi, kami sekeluarga menjadi panik kerana kebiasaannya dia akan tiba di stesen MRT Kepong pada jam 6.30 petang dan sebelum itu, dia baru sahaja menghubungi ibu kira-kira jam 5.30 petang.

"Kemudian, ayah saya ke stesen tersebut untuk mencarinya sebelum kami semua tampil ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Cheras untuk membuat laporan kerana bimbang sesuatu yang buruk terjadi kepadanya, sama ada dia dirompak atau dicederakan kerana telefon bimbitnya tak dapat dihubungi.

"Akibat buntu dan ibu saya asyik menangis, saya ambil keputusan untuk menghebahkan tentang kehilangan adik saya dan meminta bantuan orang ramai di laman X," tambahnya lagi.

Pada jam 8 pagi tadi, seorang adiknya yang lain memaklumkan bahawa Muhammad Daanish sebenarnya telah ditahan pihak AADK dan meminta mereka mengambilnya di sebuah kedai makan di Taman Maluri.

Menurut Muhammad Daanish, dia telah dibawa ke cawangan AADK daerah Cheras dan dimasukkan ke dalam bilik tahanan bersama beberapa lagi individu sebelum dilepaskan pagi tadi.

Dia juga memberitahu telah diminta untuk membuat ujian saringan air kencing tetapi keputusan menunjukkan dia bebas daripada pengaruh dadah.

"Adik saya kini berehat akibat trauma dengan kejadian yang menimpanya," tambah Syaida.

Setakat ini, Syaida memaklumkan pihaknya hanya membuat laporan polis mengenai kehilangan Muhammad Daanish dan bercadang untuk membuat laporan kedua berkaitan penahanan adiknya oleh pihak AADK.

Malaysiakini turut mendapatkan pandangan peguam, Ahmad Azri Abdullah mengenai situasi yang berlaku

Katanya, anggota AADK memang mempunyai kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta AADK 2004 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk menangkap suspek jika mempunyai bukti dan alasan yang kukuh namun mana-mana agensi penguatkuasaan yang mempunyai kuasa untuk menangkap perlu memperkenalkan diri terlebih dahulu.

"Tangkapan tak kisah daripada pihak mana, tetapi (suspek yang ditangkap) mesti diberikan hak untuk memaklumkan hal itu kepada keluarga terdekat dan juga akses kepada peguam," katanya lagi.