Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

PM pesan menteri jangan langgar peraturan pilihan raya - Fahmi

Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memberi peringatan kepada kabinet hari ini supaya mematuhi undang-undang pilihan raya sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil Sungai Bakap akan datang, menurut jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.

Bagaimanapun, Fahmi berkata jemaah menteri tidak membincangkan secara khusus mengenai cadangan garis panduan untuk menangani pengumuman peruntukan kerajaan menjelang pilihan raya.

"Kita tidak bincangkan secara khusus perkara (pengumuman peruntukan) ini .

"Tetapi perdana menteri ada memberi peringatan kepada semua ahli jemaah menteri supaya memastikan sewaktu tempoh PRK ini, tidak berlaku apa-apa pelanggaran undang-undang atau peraturan pilihan raya.

"Jadi peringatan itu sudah diberikan oleh perdana menteri," kata Fahmi yang juga menteri komunikasi selepas mesyuarat kabinet di kementeriannya di Putrajaya.

Semalam, bekas pengerusi Bersih Thomas Fann dipetik FMT berkata garis panduan itu perlu disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan jawatankuasa pilihan khas parlimen mengenai hak asasi manusia, pilihan raya dan reformasi institusi.

"Ini untuk mengelakkan sebarang potensi penyalahgunaan sumber negara semasa pilihan raya," kata Fann, yang juga pengerusi badan pemantau Engage.

Dia dilaporkan memberi maklum balas terhadap isu pengumuman oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di Nibong Tebal mengenai peruntukan RM18 juta untuk pelbagai projek di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, di bawah program Sentuhan Kasih.

Awal hari ini, Presiden Gerakan Dominic Lau berkata pengumuman Nga boleh ditafsirkan sebagai cubaan untuk membeli undi dengan alasan untuk melaksanakan tanggungjawab.

Kata Lau, pengumuman projek itu juga tindakan mengenakan pengaruh tidak wajar kepada pengundi kawasan itu sebelum pilihan raya kecil pada 6 Julai depan.

Semalam, Nga berkata peruntukan RM18 juta itu akan digunakan untuk pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Permatang Tinggi (RM13.7 juta), naik taraf pasar Bukit Panchor (RM1 juta) dan pembiayaan enam rumah ibadat bukan Islam (RM1.02 juta).

Sementara itu, Lau yang juga sekutu PN turut mengecam Anwar yang memberikan sumbangan RM290,000 kepada sembilan masjid dan 20 surau di DUN Sungai Bakap sempena sambutan Hari Raya Aidiladha Isnin depan.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei lalu.

Pada pilihan raya negeri Pulau Pinang Ogos lalu, Nor Zamri yang juga pesuruhjaya PAS Nibong Tebal, menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan 1,563 undi.