RCI Batu Puteh kekal tertutup, diketuai bekas ketua hakim
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan kes kedaulatan Pulau Batu Puteh akan kekal dibuat secara tertutup dan tidak terbuka kepada orang ramai.
RCI itu juga akan tetap diketuai bekas ketua hakim negara Md Raus Sharif, yang didakwa oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai berat sebelah.
Mahathir dijadual menghadiri prosiding itu tertutup hari ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak sebahagian besar permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Mahathir berhubung RCI berkenaan.
Bagaimanapun, hakim Amarjeet Singh membenarkan Mahathir meneruskan permohonan semakan kehakiman agar peguamnya dibenarkan hadir semasa RCI tersebut.
Amarjeet menetapkan 26 Jun untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran terhadap permohonan berkenaan.
Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah hari ini, peguam Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata pihaknya akan memohon ke Mahkamah Rayuan untuk memastikan RCI dibuka kepada orang awam selain menolak pelantikan Md Raus serta dua lagi anggota RCI atas dakwaan berat sebelah.
Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi hadir bagi mewakili kerajaan persekutuan.
Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 memberikan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, manakala Batuan Tengah milik Malaysia dan Tubir Selatan (South Ledges) kepada "negara di wilayah perairan di mana ia terletak".
Dalam afidavit difailkan Mahathir bagi menyokong tindakan undang-undang tersebut, bekas perdana menteri itu mendakwa terdapat perseteruan lama antara dia dan Raus.
Ini kerana pada tahun 2017, Mahathir telah memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Raus sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan kerana melebihi usia persaraan.
Selepas Mahathir menjadi perdana menteri semula, Raus dikatakan telah bertemunya pada Mei 2018 untuk menyatakan hasrat meletak jawatan sebagai ketua hakim negara dan kemudian mengemukakan surat peletakan jawatannya sebulan kemudian.
Mahathir mendakwa dua lagi ahli RCI yang ingin digugurkan - Baljit Singh Sidhu dan Mohammed Ridha Abd Kadir - sebagai berat sebelah kerana mereka merupakan anggota pasukan petugas (task force) yang ditubuhkan pada 2021 untuk meneliti dan membuat syor berhubung Batu Puteh.
Pada tahun 2022, perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob, mendedahkan penemuan laporan pasukan petugas yang menyatakan bahawa Mahathir mungkin cuai kerana gagal mengemukakan rayuan terhadap keputusan ICJ.
Pasukan petugas itu dipengerusikan oleh bekas peguam negara Mohd Apandi Ali, yang mana dia juga mempunyai sejarah permusuhan dengan Mahathir.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai