Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Bantuan RM200 cukup tampung peningkatan harga diesel, kata MOF

Kerajaan yakin bantuan tunai RM200 secara bulanan untuk pemilik kenderaan diesel cukup untuk menampung peningkatan perbelanjaan diesel mereka, apabila Harga bahan api itu akan diapungkan bermula tengah malam ini di Semenanjung Malaysia.

Menurut Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, Jumlah itu ditetapkan berdasarkan data Jabatan Perangkaan.

Bagaimanapun, Amir berkata kerajaan sedia menerima permohonan daripada penerima bantuan itu, jika jumlah tersebut tidak cukup untuk menampung perbezaan dalam penggunaan diesel bulanan mereka.

"Kalau tengok RM200 (yang diperuntukkan) untuk setiap individu, (jumlah itu berdasarkan) data Jabatan Perangkaan.

"Berdasarkan data yang kita ada, kita Nampak RM200 dapat tampung (kegunaan bulanan) 80 peratus pemilik (kenderaan diesel), lebih kurang," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

"(Secara asasnya), 80 peratus pengguna tidak akan terjejas (dengan peningkatan Harga)," katanya lagi ketika diminta memberi penjelasan lanjut.

Terdahulu, Amir mengumumkan kerajaan akan mula mengapungkan harga diesel bermula 12.01 tengah malam ini di seluruh Semenanjung Malaysia.

Dia berkata langkah itu demi mengurangkan kebocoran subsidi yang berpunca daripada kegiatan penyeludupan diesel.

Bantuan untuk pemilik peribadi

Dia berkata harga diesel akan diapungkan pada kadar RM3.35 seliter, berdasarkan harga pasaran tanpa subsidi.

Esok juga kerajaan akan mula mengagihkan bantuan tunai RM200 kepada kira-kira 30,000 pemilik kenderaan diesel yang layak, di bawah inisiatif Budi Madani.

Katanya, Budi Madani bertujuan membantu pemilik kenderaan peribadi dan mereka yang menggunakan kenderaan peribadi itu dalam perniagaan kecil, seperti peniaga pasar malam.

"Harap-harap (RM200) cukuplah kerana diesel ini mileage lebih (tinggi) sedikit (berbanding petrol).

"Tapi kalau ada apa-apa isu, orang nak buat rayuan, boleh buat rayuan," katanya lagi.