Zambry: Kebangkitan BN bermula di Johor
Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir mengucapkan penghargaan kepada ahli dan pemimpinnya dari Johor atas kebangkitan semula gabungan itu selepas mengalami kekalahan terburuk pada 2018.
Berucap pada konvensyen pertama BN Johor hari ini, Zambry berkata selain Umno, MCA, MIC dan PBRS, beberapa parti kecil yang menjadi ‘Friends of BN’ tetap setia walaupun ketika gabungan itu menghadapi masa-masa sukar.
"Ada yang kata BN the grand old party….parti tua yang tak boleh makeup lagi.
"(Tetapi usia) parti tak boleh disamakan dengan biologi manusia… parti ada kepimpinan baru,” kata Zambry merujuk pelantikan pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi yang mengambil alih kepimpinan daripada Ahli Parlimen Simpang Renggam, Hasni Mohammad.
Sejak pilihan raya negeri Johor pada 2022, Onn yang memenangi kerusi DUN Machap, turut dilantik sebagai menteri besar Johor ke-19 bagi menggantikan Hasni.
Samakan dengan Golkar, Parti Kongres
Zambry yang menyatakan keyakinan terhadap kelangsungan BN dalam pilihan raya umum akan datang, juga menyentuh mengenai kejayaan parti politik lama di India dan Indonesia - antara lain disebabkan strategi membina hubungan dengan rakan baru.
Di India, dia merujuk kepada kebangkitan parti Kongres Kebangsaan India yang berusia 138 tahun dalam menentang parti Bharatiya Janata yang dipimpin perdana menteri,Narendra Modi dan parti pemerintah.
"Parti Kongres di India, usia 138 tahun. Tiada siapa jangka Parti Kongres akan bangkit. Parti Kongres macam Umno… Dalam Perhimpunan Agung Umno kita dengar (ada yang) menyamakan Umno dengan Parti Kongres.
"Parti Kongres bangun balik dapat 99 kerusi. BJP rasa akan dapat kemenangan hebat, tapi sebaliknya,” katanya.
Keputusan pilihan raya umum India pada 4 Jun lalu menyaksikan gabungan NDA yang diketuai Modi kembali berkuasa untuk penggal ketiga dengan lebih 290 kerusi dalam parlimen yang memiliki 543 anggota, namun BJP sendiri gagal mencapai angka 272 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.
Sementara itu, Zambry juga merujuk kepada parti Golkar di Indonesia dan kebangkitannya sejak kejatuhan bekas presiden Soeharto pada 1998.
"Seringkali kita lihat selepas era Soeharto orang kata Golkar hancur, tetapi dalam Pemilu terbaru (Feb lalu) PDI-P (parti pemerintah menang) undi popular 16 peratus. Golkar 15.9 peratus,” katanya.
Selain itu, dia berkata Golkar juga memenangi undi majoriti di 14 daripada 38 wilayah Indonesia, manakala PDI-P hanya mendahului di 10 wilayah.
"Golkar hampir sama wajah dengan BN. Dalam politik jangan cepat kecewa, jangan lari daripada perjuangan.
“Johor sentiasa jadi rujukan utama kepada BN. Saya percaya di Johor akan bermula kebangkitan kita…semangat anak muda yang tidak pernah pudar,” katanya.
Zambry, yang menyampaikan ucapan penutup konvensyen kepada lebih 1,000 ahli, menerima lima resolusi yang diluluskan untuk melakarkan masa depan gabungan itu menuju PRU16 dan pilihan raya negeri akan datang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai