Kes OKU dipukul: Tiada arahan agar media padam laporan, kata Fahmi
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata dia mahupun timbalannya, Teo Nie Ching tidak pernah mengarahkan mana-mana media untuk memadamkan laporan mereka.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan bekas menteri Zahid Ibrahim berhubung dakwaan kerajaan membuat tapisan terpilih dalam laporan berita di negara ini.
"Saya ambil maklum pandangannya. Dia ada banyak pandangan, saya tak ada masalah dia menyuarakan pandangan seperti ini. Teruslah berpandangan.
"Saya ingin jelaskan, saya dan timbalan menteri tidak pernah minta mana-mana media untuk turunkan apa-apa laporan," katanya yang juga jurucakap kerajaan kepada pemberita di Putrajaya.
Semalam, Zaid menggesa para editor untuk bersama-sama menentang usaha membuat tapisan terhadap media, dengan membangkitkan "blackout" media utama mengenai sidang media pemandu e-hailing OKU, Ong Ing Keong dan Lawyers for Liberty (LFL) berhubung dakwaan serangan oleh pengiring pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Kata Fahmi lagi, kabinet hari ini dimaklumkan berkenaan perkembangan berkenaan kes tersebut, namun enggan mengulas lanjut sementara menunggu siasatan polis selesai.
'Jadi mangsa fitnah'
Dalam perkembangan berlainan, Fahmi mempertahankan Teo berhubung dakwaan oleh peguam Shamser Singh Thind yang mendakwa dia mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat hantaran media sosialnya berkaitan kontroversi Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti).
"Dakwaan itu telah ditepis SKMM. Timbalan menteri tidak keluarkan apa-apa arahan.
"Kesian dia jadi mangsa fitnah," katanya lagi.
Menegaskan keputusan muktamad berhubung sekatan atau penurunan terletak di tangan platform media sosial, Fahmi berkata kebanyakan hantaran yang disekat melibatkan judi dan penipuan dalam talian.
"Jadi tidak betul untuk individu itu menuduh timbalan menteri. Saya harap dia akan mohon maaf kepadanya," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai