Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

'Bermandi lumpur, dia terlepas temu duga sebab bantu saya dan isteri'

KISAH MUHIBAH | Pada April lalu, Malaysiakini meminta para pembaca untuk berkongsi cerita tentang hubungan dan persahabatan mereka yang melangkaui sempadan kaum dan agama.

Antara kisah yang dihantar adalah berkenaan dua askar yang menjalin persahabatan dengan anggota yang berbeza latar belakang.

Lebih menarik, kisah yang dikongsi ini melangkaui waktu-waktu mereka dalam angkatan tentera.

Bagi seorang pesara tentera laut, ia bermula di hari seorang lelaki berpakaian segak melepaskan peluang berharganya demi membantunya di saat memerlukan.

Seorang lagi pembaca adalah anak perempuan seorang leftenan kolonel. Dia menceritakan persahabatan bapanya yang "melangkaui kebiasaan masyarakat" - dan Bagaimana kisah yang dikongsi rakan-rakan ketika memberikan penghormatan akhir untuk bapanya sedikit mengubat duka keluarga.

Berikut adalah kisah mereka.

Demi negara dan juga satu sama lain - kisah KS Rony Pavdai

Saya pernah berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia. Saya berkhidmat di samping anggota pelbagai kaum - India, Melayu, Cina, Sikh, Iban, Dayak dan lain-lain.

Kami bekerja bersama-sama dan membantu satu sama lain dalam satu pasukan, bersama berganding bahu.

Kami juga sering menziarahi rumah masing-masing, sehingga hari ini. Walaupun telah bersara, ramai rakan kaum lain datang melawat kami dan malah pernah tinggal bersama kami.

KS Rony Pavdai (dua dari kiri) di majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri

Saya boleh berkongsi pelbagai kisah persahabatan melangkaui kaum dan agama. Namun ada satu kenangan yang cukup dekat dengan hati saya.

Pada masa itu, isteri saya hamil enam bulan. Saya dapat khabar yang nenek saya sakit tenat, jadi kami buat keputusan untuk memandu dari Lumut ke Seremban untuk ziarahinya.

Kami bertolak pada pukul 5.30 pagi. Apabila sampai di Teluk Intan, saya rasa mengantuk. Jadi saya buat keputusan berhenti di tepi jalan untuk berehat.

Selepas beberapa ketika, saya rasa segar semula dan ingin teruskan perjalanan. Tapi tayar belakang kereta tersangkut dalam lumpur dan kereta tidak dapat bergerak.

Saya keluar untuk tolak kereta sementara isteri saya di kerusi pemandu. Dia tekan pedal tapi kereta masih tidak bergerak.

KS Rony Pavdai (kiri) semasa berkhidmat dalam TLDM

Banyak kenderaan yang lalu tapi tiada satu pun yang berhenti untuk tolong. Tiba-tiba, ada seorang lelaki Melayu yang berpakaian segak memberhentikan motosikalnya dekat kami.

"Abang minta isteri pandu, kita tolak sama-sama," katanya.

KS Rony Pavdai bersama isteri di kapal TLDM

Kami tolak sedaya-upaya dan akhirnya, kereta saya bergerak. Namun akibatnya, saya dan lelaki Melayu itu bermandi lumpur.

Saya dan isteri amat sedih lihat pakaiannya yang kemas dikotori lumpur. Katanya, dia dalam perjalanan untuk ke temu duga kerja tapi berhenti untuk bantu kami.

"Saya akan batalkan temu duga dan pergi esok sahaja," katanya.

KS Rony Pavdai (tengah) membuat persiapan untuk menyelam

Badan penuh lumpur, jadi saya ambil tuala dan pergi ke rumah terdekat. Saya ketuk pintu dan tanya jika saya boleh tumpang mandi. Tuan rumah baik hati dan benarkan saya gunakan bilik air mereka yang terletak di luar rumah.

Saya akan ingat hari itu sampai bila-bila.

Meraikan persahabatan seumur hidup bapa - kisah Sumathy Ramasamy

Ini gambar ayah saya, Lt Kol (bersara) Ramasamy dan rakannya, Mui Yoke Loong dan Shahruddin Yusof dari zaman kanak-kanak di kampungnya di Kamunting, Perak.

Ayah dan rakan-rakannya berkongsi persahabatan erat yang luar biasa, melangkaui kebiasaan masyarakat. Semasa kecil, mereka berbasikal ke mana jua supaya duit belanja sekolah boleh disimpan untuk beli ais krim atau coklat untuk dinikmati bersama.

Mereka suka main guli dan sering bercerita tentang memori indah ini dengan anak cucu mereka.

Masa berlalu dan kehidupan membawa mereka ke pelusuk dunia yang berbeza.

Ayah berkhidmat dalam angkatan tentera dan kami berpindah ke Kuala Lumpur. Namun ayah sentiasa curi masa untuk minum kopi dengan rakan-rakan baiknya bila dia pulang ke Kamunting.

Sejauh mana pun mereka berhijrah, memori zaman kanak-kanak dan semua yang dipelajari di masa kecil terpahat di hati mereka.

Setelah berdekad berlalu, mereka kembali duduk semeja di kedai kopi kegemaran mereka di kampung halaman. Uban di rambut dan kedut di muka menandakan masa-masa yang telah berlalu.

Pada hari itu, mereka mengimbas sejauh mana perjalanan hidup mereka sejak zaman kanak-kanak di Kamunting, dengan ikatan silaturahim yang kekal utuh.

Di meja kedai kopi, gelak ketawa mereka ketika mengenang memori lalu menunjukkan kasih sayang tiada sempadannya - biarpun dari segi kaum, agama atau apa-apa perbedaan lain.

Ayah saya meninggal dunia pada 22 September 2023. Ramai rakannya datang untuk mengucapkan selamat tinggal.

Mereka berkongsi dengan kami pengalaman mereka bersama ayah, dan ia menjadi penawar kepada kesedihan kami.

Saya menulis cerita ini untuk dikongsi dengan semua demi meraikan persahabatan mereka yang kekal ke hujung usia.

Dua Budak Cina dan kumpulan kompang - kisah Lawrence Quek

Saya berkawan dengan Sharif Alwi semasa kami bersekolah rendah di Tanquerah English School di Melaka.

Sharif (lima dari kanan, baris belakang) rakan sekelas saya dan kami berdua dalam pasukan hoki sekolah. Dia penjaga gol.

Pada 1974, semasa kami di Tahun Enam, dia dilantik sebagai ketua kumpulan kompang sekolah. Saya dan rakan kami, Harold Wee Hock Huat (pertama dari kiri, baris depan) sertai pasukan kompang Sharif. Begitulah jadinya dua budak Cina di kalangan 20 budak Melayu, bermain kompang.

Kumpulan kompang sekolah kami dijemput untuk buat persembahan di pelbagai acara di Melaka. Harold dan saya ditempatkan di barisan depan, sebelah Sharif. Mungkin kerana kami berbeza dengan yang lain.

Kami seronok bersama - Sharif, Harold dan saya. Saya kongsikan satu-satunya gambar kami bertiga yang saya ada. Ketika itu keluarga kami miskin, jadi kami tiada peluang untuk bergambar selain daripada gambar kelas sekolah. Dalam gambar ini saya berdiri dua dari kanan di barisan belakang.

Sharif dan Harold telah meninggal dunia, tapi memori indah bersama mereka masih segar di ingatan saya.

Kami ada kisah muhibah tersendiri? Hantar pada [email protected]. Kisah terpilih akan menerima langganan percuma Malaysiakini selama sebulan. Butiran lanjut di sini.