PANDUANKINI | Siapa terlibat dan apa itu projek DRT S’gor?
PANDUANKINI | Dalam minggu lalu, ahli politik dari pelbagai pihak mengkritik kerajaan Selangor atas dakwaan nepotisme berhubung program Transit Responsif Atas Permintaan (DRT) yang sedang diuji oleh kerajaan negeri itu.
Dakwaan itu tertumpu kepada pemilihan Asia Mobiliti Sdn Bhd (Asia Mobiliti) sebagai salah satu daripada dua syarikat yang dianugerahkan projek percubaan itu.
Apakah dakwaan yang timbul, siapa yang terlibat dan apakah sebenarnya projek tersebut? Panduankini kali ini meneliti isu tersebut.
Apa itu DRT?
Transit Responsif Atas Permintaan ialah konsep transit yang menggabungkan pengangkutan awam tradisional dengan teknologi panggilan elektronik.
Secara ringkasnya, DRT ialah perkhidmatan yang membolehkan pengguna menempah perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas atau van melalui aplikasi telefon bimbit apabila mereka memerlukannya.
Ini berbeza dengan perkhidmatan e-hailing seperti Grab, yang membolehkan pengguna menempah kereta persendirian. Dalam DRT, kenderaan terbabit menggunakan radius tertentu dan perjalanan dikongsi dengan penumpang lain, yang akan diambil dan diturunkan di sepanjang jalan.
Jenis transit ini dilihat sebagai penyelesaian untuk menghubungkan lokasi pertama dan terakhir antara hab dan destinasi pengangkutan awam.
Adakah terdapat nama lain untuk DRT?
Ya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) menyebut perkhidmatan itu sebagai ‘Bas Atas Permintaan’.
Bilakah ia diperkenalkan di Malaysia dan apakah kriterianya?
Apad mengeluarkan notis awam untuk mana-mana syarikat yang berminat untuk mendaftar bagi menjalankan ‘bukti konsep’ percubaan pada 1 Sept 2022.
Sehingga kini, hanya tiga syarikat telah mendaftar selepas memenuhi kriteria bukti konsep yang ditetapkan oleh Apad untuk program Bas Atas Permintaan.
Apad berkata tempoh bukti konsep hanya berlangsung sehingga 31 Ogos tahun ini, dan syarikat yang berdaftar hanya dibenarkan beroperasi di zon dan perhentian yang diluluskan oleh agensi itu.
Apad juga menetapkan kriteria untuk jenis kenderaan yang boleh digunakan, saiz, kapasiti dan umur kenderaan.
Kriteria penuh adalah seperti di bawah:
Apakah tiga syarikat tersebut dan bilakah mereka mendaftar dengan Apad?
Tiga syarikat itu ialah Badanbas Coach Sdn Bhd, Asia Mobiliti dan Kumpool Sdn Bhd.
Menurut Apad, syarikat-syarikat berkenaan mula beroperasi pada masa berbeza dan mendaftar untuk membuat projek bukti konsep di zon berbeza.
Apad meluluskan pendaftaran Asia Mobiliti pada 22 Dis 2022 manakala Badanbas Coach menerima kelulusannya pada 24 Feb 2023. Apad berkata Kumpool mula mengendalikan projek mereka pada 30 November 2023.
Badanbas Coach dan Asia Mobiliti beroperasi di pelbagai bahagian di Selangor manakala projek Kumpool di Melaka Tengah.
Perkhidmatan DRT oleh Asia Mobiliti digelar Trek, Badan Bas Coach menggunakan istilahMobi manakala perkhidmatan Kumpool menggunakan nama yang sama.
Mengapa isu ini menjadi kontroversi?
Dalam beberapa minggu lalu, ahli politik dari Bersatu, MCA, Umno, PAS dan Urimai mengkritik kerajaan Selangor atas dakwaan nepotisme dalam projek DRT.
Ini kerana salah satu daripada dua syarikat berkenaan, Asia Mobiliti, yang dipilih untuk percubaan DRT selama sembilan bulan di Selangor adalah milik Ramachandran Muniandy, suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Walaupun Yeoh tidak berada dalam barisan kepimpinan kerajaan Selangor, dia ialah pemimpin gabungan Pakatan Harapan (PH), yang mentadbir Selangor.
Pengkritik juga mempersoalkan mengapa tiada tender terbuka untuk pemilihan itu, manakala ada yang mengatakan ia salah secara moral kerana konflik kepentingan.
Sebagai tindak balas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia menyerahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat dakwaan konflik kepentingan.
Premesh Chandran, pengarah dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysiakini, juga merupakan pengasas bersama Asia Mobiliti. Panduan kini ini akan mengulas perkara ini dalam bahagian berasingan.
Apakah pendirian SPRM?
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, dia mendapati tiada yang salah dengan perjanjian antara kerajaan Selangor dan Asia Mobiliti, kerana ia telah melalui proses yang sewajarnya.
Bagaimana dan bila kedua-dua syarikat itu dipilih?
Menurut Exco Selangor yang bertanggungjawab berkaitan perkara itu, Ng Sze Han, kedua-dua syarikat itu dipilih melalui proses Request for Proposal (Permintaan untuk Cadangan) bukannya melalui tender, kerana hanya dua syarikat sedemikian yang mempunyai pendaftaran Apad yang diperlukan ketika itu.
“Keputusan untuk hanya mendekati Asia Mobiliti dan Badanbas Coach diambil kerana kerajaan negeri sedang memulakan proses pembuktian konsep Bas Atas Permintaan, dan hanya dua syarikat ini dilesenkan oleh Apad untuk menyertai bukti konsep (percubaan),” katanya pada 29 Mei.
Percubaan Bas Atas Permintaan di Selangor adalah sebahagian daripada dasar Mobiliti Selangor, bertujuan untuk menambah baik pengangkutan awam di Selangor.
Ng berkata Apad meluluskan bukti konsep Asia Mobiliti dan Badanbas untuk perkhidmatan Bas Atas Permintaan masing-masing pada 22 Dis 2022 dan 24 Feb 2023.
Sehubungan itu, Selangor mengeluarkan surat hasrat kepada syarikat itu pada 15 Jun 2023 dan kemudiannya, surat pelantikan pada 20 Sept 2023.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengumumkan pelantikan syarikat berkenaan untuk tempoh percubaan di Mobiliti Selangor di Konvensyen Bandar Pintar & Ekonomi Digital (SDEC) Selangor 2023 pada 20 Okt 2023.
Adakah kerajaan Selangor membayar semua kos dalam tempoh percubaan bukti konsep?
Menurut laporan berita sebelum ini, Ng berkata kerajaan Selangor memberi subsidi tambang penumpang pada kadar RM3 setiap penumpang, manakala penumpang membayar RM2 setiap perjalanan.
Kata Ng, sejak tempoh percubaan bukti konsep bermula, 40,674 penumpang telah menggunakan perkhidmatan ini.
Tambah Ng, subsidi penumpang RM2.1 juta masing-masing diperuntukkan kepada Asia Mobiliti dan Badanbas untuk keseluruhan tempoh percubaan, yang akan diagihkan dalam tiga peringkat "untuk mengelakkan penyalahgunaan dana negara".
Ng dalam kenyataannya juga berkata kerajaan Selangor juga membayar untuk "pemasaran, promosi, teknologi, pemantauan, kos pengurusan" tetapi tidak jelas jika RM2.1 juta itu juga menampung perbelanjaan ini.
Mengikut Belanjawan Selangor 2024, RM5 juta diperuntukkan tahun ini untuk projek DRT.
Berapa lama tempoh percubaan dan apa yang berlaku selepas itu?
Tempoh percubaan bermula pada November 2023 dan akan berakhir pada Julai 2024, iaitu sembilan bulan.
Kerajaan tidak menjawab pertanyaan mengenai perkara yang ingin dilakukan selepas tempoh percubaan.
Adakah Selangor membuka bukti konsep percubaan kepada penyedia DRT lain?
Ya, Ng berkata Kumpool, satu-satunya penyedia perkhidmatan DRT lain yang berdaftar dengan Apad telah mengemukakan cadangannya kepada kerajaan negeri bulan ini dan ia sedang dinilai untuk penglibatan dalam fasa projek seterusnya.
“Kami yakin proses penilaian Permintaan Cadangan dan keputusan untuk melibatkan syarikat-syarikat ini dilakukan dengan betul dan atas dasar kukuh, serta mengikut peraturan dan garis panduan sedia ada,” katanya.
Apakah jawapan kerajaan Selangor terhadap dakwaan nepotisme?
Ng berkata penilaian itu dibuat berdasarkan hasil saringan Apad, apabila agensi itu mendaftarkan syarikat berkenaan untuk menjalankan ujian Bas Atas Permintaan.
“Merujuk kepada mengapa Ram Ramachandran, suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannay Yeoh, dianugerahkan kontrak negeri, adalah penting untuk ambil perhatian bahawa penilaian jawatankuasa pemilihan adalah berdasarkan keupayaan syarikat untuk memenuhi tapisan awal oleh Apad, yang kemudiannya memberi kelulusan untuk syarikat itu menyertai percubaan bukti konsep,” katanya.
Tambahnya, syarikat lain yang dipilih oleh Selangor, Badanbas, dinilai dengan cara yang sama.
Apakah jawapan Asia Mobiliti terhadap dakwaan itu?
Premesh menafikan dakwaan nepotisme dan berhujah bahawa tender terbuka dalam situasi ini adalah tidak sesuai kerana terdapat hanya dua syarikat yang mempunyai pendaftaran Apad yang diperlukan untuk menyertai percubaan bukti konsep oleh kerajaan Selangor.
“Isu terasnya ialah memandangkan hanya dua syarikat yang mempunyai lesen Apad yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan DRT, adakah anda (i) membuka tender dan memberi monopoli kepada satu syarikat, atau (ii) membahagikan zon dan membiarkan dua syarikat bersaing semasa tempoh percubaan sembilan bulan?
“Kerajaan negeri memilih pendekatan kedua, dengan penuh ketelusan dan akauntabiliti. Untuk Asia Mobiliti, kami berbesar hati bersaing untuk tender - menang ada, kalah ada,” katanya dalam catatan di LinkedIn.
Dia juga berkata kritikan terhala bukan mengenai kecekapan Asia Mobiliti tetapi serangan terhadap "ahli politik yang melakukan kerja yang baik, dengan menyerang suaminya".
"Taktik kotor," katanya.
Dia juga berkata syarikat itu telah membuat pelaburan besar sendiri untuk mengambil bahagian dalam tempoh percubaan, termasuk dalam sumber manusia dan peralatan, tetapi tidak menyatakan jumlah yang dilaburkan.
Malaysiakini juga telah menghubungi Badanbas untuk butiran mengenai pelaburan mereka dalam program itu.
Adakah Malaysiakini dikaitkan dengan Asia Mobiliti?
Malaysiakini tidak mempunyai hubungan perniagaan dengan Asia Mobiliti, bagaimanapun, kedua-dua syarikat itu sebahagiannya dimiliki oleh Premesh.
Premesh meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysiakini pada Februari 2022, tetapi kekal sebagai pengarah syarikat.
Asia Mobiliti mahupun Premesh tidak mempunyai pengaruh kepada dasar editorial Malaysiakini, manakala pengurusan korporat atau editorial Malaysiakini tidak mengetahui sebarang urusan Asia Mobiliti.
Tiada sokongan kewangan atau pelaburan daripada Malaysiakini kepada Asia Mobiliti atau sebaliknya.
Adakah Malaysiakini masih terlibat dalam projek DRT?
Pendek kata, tidak. Asia Mobiliti menyenaraikan Malaysiakini sebagai rakan kongsi di laman webnya untuk sokongan awal, termasuk menganjurkan percubaan DRT pada 2021.
Teknologi Trek Ride telah ditunjukkan buat pertama kali di Malaysia kepada wakil kerajaan negeri Selangor, termasuk Adun Bukit Gasing Rajiv Risyakaran, semasa sesi yang diadakan di Malaysiakini pada September, 2021. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Norita Mohd Sidek.
Demonstrasi itu juga melibatkan ujian tunggangan dari pejabat Malaysiakini ke kawasan yang dicadangkan sebagai zon perintis pertama di sekitar kawasan PJ New Town dan Old Town.
Pada masa yang sama, antara 2020 dan 2021, beberapa artikel mengenai Asia Mobiliti telah diterbitkan sebagai pengumuman korporat di laman Malaysiakini.
"Pengumuman promosi itu adalah dalam konteks perkongsian dengan Malaysiakini, untuk mereka bentuk zon perintis pertama di sekitar kawasan PJ New Town dan Old Town. Ia akan memasukkan pejabat Malaysiakini di Seksyen 51, menghubungkan kawasan itu ke Asia Jaya dan Taman Stesen LRT Jaya, justeru menjadikan kawasan itu lebih mudah diakses oleh pengguna pengangkutan awam,” kata Premesh kepada Malaysiakini.
Memandangkan sifat perkongsian awal yang tidak rasmi, dan untuk memastikan tiada persepsi yang tidak diingini terhadap kebebasan editorial Malaysiakini, pengurusan Malaysiakini telah meminta logo syarikat itu dikeluarkan daripada laman web Asia Mobiliti.
Apa yang dikatakan oleh badan pemerhati rasuah lain mengenai respons Selangor dan Asia Mobiliti?
Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) menolak maklum balas bahawa tender terbuka boleh membawa kepada monopoli, kerana hanya dua syarikat berdaftar dengan Apad menyediakan perkhidmatan berkenaan.
C4 mendakwa kriteria pemilihan Selangor tidak didedahkan secara terbuka, menimbulkan pertikaian mengenai perkara itu.
Ia juga mengritik Azam yang menafikan kes rasuah dengan pantas, sambil menambah bahawa isu itu menekankan keperluan untuk rangka kerja undang-undang yang lebih baik untuk menangani konflik kepentingan.
“Skop yang ditakrifkan dengan jelas mesti diwujudkan untuk menjelaskan apa yang menjadi konflik kepentingan, dengan ketetapan yang menyekat atau melarang secara terang-terangan pelaku yang mempunyai hubungan perbalahan dengan urus niaga.
"Kemudian mesti ada pendedahan penuh yang diberikan kepada orang ramai untuk sebarang prosiding yang ditandakan sebagai mempunyai konflik, membolehkan ketelusan yang lebih baik, dan memudahkan penyiasatan masa depan," katanya.
Bagaimana dengan syarikat lain - siapa mereka?
Menurut profil korporatnya, Badanbas telah ditubuhkan pada 2001 dan diterajui oleh Mohd Nadzmi Mohd Salleh.
Nadzmi pernah menjadi pengerusi Konsortium Transnasional Bhd dari 2005 hingga 2021 dan kini pengerusi eksekutif KLIA Express.
Badanbas sendiri dimiliki oleh Nadicorp Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat pemegangan pelaburan dengan 23 anak syarikat operasi yang terlibat dalam pelbagai aktiviti.
Menurut profil NadiCorp, Nadzmi disenaraikan sebagai pengasas syarikat.
Sementara itu, profil awam Kumpool menyatakan syarikat itu adalah bahagian Causeway Link, salah satu penyedia syarikat bas awam terbesar di Johor Bahru.
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai