Asia Mobiliti: Saya perlu jelaskan jika siasatan dapati tiada kes, kata Azam
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mempertahankan tindakannya membuat kenyataan segera semalam berhubung projek kerajaan Selangor, yang mengundang kritikan.
Ia selepas Azam menerima kritikan selepas berkata tiada masalah dengan kontrak Mobiliti Selangor yang dianugerahkan kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti), di mana suami Yeoh memegang jawatan CEO.
Azam berkata sudah menjadi tugasnya untuk menjelaskan keadaan apabila sesuatu siasatan mendapati tiada kesalahan dilakukan.
"Apabila saya rasa tiada kes selepas kita buat laporan awal, masa untuk saya untuk jelaskannya kerana pihak terlibat telah begitu terkesan dengan berita (berkenaannya) dan sebagainya," katanya ketika sesi taklimat bersama editor kanan di Putrajaya hari ini.
Semalam, Azam berkata dia melihat tiada kesalahan berhubung pemberian kontrak tersebut memandangkan Yeoh tidak terlibat dalam proses membuat keputusan berkenaannya.
"Saya tidak nampak ia mempunyai kaitan antara Kerajaan Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi ia berlainan sekiranya KBS yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan," katanya seperti dipetik Berita Harian.
Bagaimanapun, kenyataan itu diselar sejumlah pihak, termasuk anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris.
Azam juga menegaskan SPRM tidak melihat ada kesalahan dibuat memandangkan tiada unsur salah guna kuasa melibatkan Yeoh.
Katanya lagi, SPRM bukan entiti politik dan mereka perlu berpegang kepada fakta kes.
"Sama ada itu kesalahan dari segi moral atau tidak, SPRM tak boleh terlibat (dengan persoalan itu)," katanya lagi.
‘SPRM memang tak siasat Shahrizat’
Azam juga diminta mengulas kritikan Puad, yang membandingkan pemberian kontrak itu dengan siasatan SPRM ke atas National Feedlot Corporation (NFC) pada 2011.
Puad mempersoalkan mengapa SPRM menyiasat Shahrizat Abdul Jalil, ketika itu ketua Wanita Umno, namun tidak mengambil pendekatan yang sama dalam kes Asia Mobiliti.
Azam berkata Puad seharusnya menyemak fakta memandangkan SPRM tidak pernah menyiasat Shahrizat dalam kes itu.
Dia sebaliknya berkata siasatan dibuat terhadap suami Shahrizat, Mohamad Salleh Ismail yang kemudian membawa kepada pendakwaan di mahkamah.
Sementara itu, Azam ketika sesi taklimat turut berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak pernah campur tangan dalam sebarang siasatan SPRM, walaupun ada pihak yang menuduhnya berbuat demikian.
Terdahulu hari ini, Anwar berkata dia menyerahkan perkara itu kepada SPRM dan ia harus disiasat seperti biasa.
Kata Azam lagi, Anwar telah menyatakan secara jelas yang dia tidak akan masuk campur dan menyerahkannya sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
"Jadi jika ada perkara atau isu untuk siasatan kita, kita akan siasat.
"Katakan ada petunjuk baru nanti, atau isu untuk kita siasat, maka kita akan (terus) siasat.
"Tetapi setakat ini, saya tak nampak ada kes dan saya akan beri penerangan kepada PM jika dia tanya saya. Saya akan beritahu dia yang tiada apa untuk disiasat, apa lagi yang anda nak saya lakukan?" katanya lagi.
'Hanya untuk sembilan bulan'
Pada 24 Mei lalu, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han mempertahankan keputusan memilih Asia Mobiliti dan BadanBas Coach Sdn Bnd untuk projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) di bawah inisiatif Mobiliti Selangor.
"Kedua-dua syarikat mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dan badan persekutuan yang berkaitan," katanya seperti dipetik media.
Dia berkata Apad meluluskan pembuktian konsep (POC) Asia Mobiliti pada 22 Disember 2022. BadanBas Coach pula mendapat kelulusan pada 24 Februari 2023.
Katanya lagi, kedua-dua syarikat telah membuat pembentangan yang memuaskan tentang aplikasi mereka dengan jawatankuasa pengangkutan negeri dan kelulusan yang diberi Apad turut diambil kira.
Asia Mobiliti pula berkata, dalam konteks pemilihan, pihaknya memahami sebab dua syarikat dilantik, bukannya satu syarikat sahaja.
Namun, syarikat itu berkata lantikan itu hanya untuk sembilan bulan dan memerlukan banyak pelaburan daripada kedua-dua penyedia perkhidmatan tersebut, dari segi perolehan kenderaan, pengambilan pemandu serta pengoptimuman dan pembangunan teknologi secara berterusan.
"Negeri mendapat nilai terbaik bagi pelaburannya dan memberi peluang kepada dua syarikat untuk membuktikan keupayaan dan membangunkan satu perkhidmatan baru untuk negeri, yang boleh dikatakan program negeri pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
"Kejayaan program Mobiliti Selangor turut membawa kepada pengumuman Prasarana dan Kementerian Pengangkutan untuk penggunaan DRT bagi menggantikan perkhidmatan bas penghantar biasa dengan RapidKL melaksanakan projek rintis yang sangat berjaya pada Mei 2023, dengan Trek Rides bagi UM-Bangsar South yang terus kami kendalikan secara bebas," kata syarikat itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai