Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

'PM bukan Melayu' - Siti Kasim cabar pendirian Abim

Peguam Siti Kasim mencabar Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) untuk menyatakan pendiriannya berhubung soalan kemungkinan Malaysia mempunyai perdana menteri bukan Melayu pada masa hadapan.

Siti membangkitkan pertanyaan itu semasa sesi dialog bertajuk “Pelaksanaan Reformasi dalam Fasa Pendemokrasian Negara” di Kongres Bersih hari ini.

Panelis acara dialog itu ialah Presiden Abim Fahmi Samsudin, bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreevenasan, pengarah eksekutif Bersih Ooi Kok Hin dan Pengerusi Kongres UIAM Aaliyah Danial.

"Jika bukan Islam menjadi perdana menteri di negara ini, apakah pendirian Abim,” soal Siti.

Presiden Abim Fahmi Samsudin.

Menjawab pertanyaan itu, Fahmi berkata selagi proses pelantikan itu berpandukan Perlembagaan Persekutuan, dia berpendapat sesiapa sahaja boleh dilantik sebagai perdana menteri.

"Perlembagaan Persekutuan tetapkan perkara itu.

"Sesiapa sekali pun, asalkan dia lahir di Malaysia, asalkan dia diberi kepercayaan.

"Pertama jadi ahli parlimen, tak boleh jadi senator. Dan dapat sokongan, saya rasa tak ada masalah siapa-siapa pun boleh diangkat jadi PM,” jelas Fahmi.

Terdahulu Fahmi memetik Perkara 40(2a) dan Perkara 43(2a) Perlembagaan Persekutuan sebagai maklum balas terhadap soalan Siti.

Perkara 40(2a) menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya untuk melantik seorang perdana menteri.

Sementara itu, Perkara 43(2a) menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik perdana menteri untuk mempengerusikan jemaah menteri daripada seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.

Pada Disember tahun lalu, veteran DAP Lim Kit Siang mendapat dikritik selepas menyebut “tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi perdana menteri”.

Lim juga telah dipanggil oleh polis berhubung perkara ini.

Menjelaskan hal itu, Lim berkata Perlembagaan Malaysia ini bukanlah satu dokumen yang bersifat provokatif, sebaliknya ia perlu menjadi asas kepada perpaduan Malaysia.

Lim berkata semasa dia berceramah kepada pelajar Malaysia di Manchester, dia mengambil maklum Amerika Syarikat mengambil masa 230 tahun sebelum seorang rakyat berkulit hitam (Barack Obama) diangkat menjadi presiden dan dia berharap bahawa tidak lama lagi seorang bukan Melayu pula menjadi perdana menteri.

Jelas Lim, dia setuju buat masa ini kenyataan bahawa seorang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri ini adalah satu “kenyataan fakta” dan bukanlah satu “kenyataan realiti”.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan jawatan itu dikhaskan secara eksklusif untuk orang Melayu Isla sahaja.

Wan Fayhsal juga mendakwa langkah itu akan membantu kerajaan campuran Anwar mendapatkan semula sokongan yang hilang di kalangan pengundi Melayu.

Namun, perdana menteri menegaskan pembangkang cuma memainkan isu orang bukan Melayu sebagai perdana menteri untuk "melaga-lagakan" rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Anwar dilaporkan berkata tidak ada keperluan untuk pindaan sedemikian.

"Sejak merdeka sampai sekarang calon perdana menteri ialah Melayu.

“Selepas ni pun calon daripada kerajaan juga Melayu dan calon daripada pembangkang pun Melayu. Jadi maju terus.

"Hak rakyat semua warga negara dipelihara, jaga kepentingan semua rakyat, semua kaum dan semua wilayah,” kata Anwar.