ULASAN | ‘Cirit-birit’ perbahasan ekonomi
Bacalah buku-buku! Fahamkanlah dahulu asas atau garis-garis besar pemikiran ekonomi. Kemudian barulah belajar membandingkan angka-angka dan fakta; konteks dan realiti semasa.
Insha-Allah dengan disiplin sebegini, barulah para pemimpin Perikatan Nasional (PN) akan menjadi lebih waras dalam menilai setiap langkah dan kebijakan ekonomi yang diambil oleh Kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim. Barulah mereka boleh menjadi pembangkang yang konstruktif.
Komen dan kritikan terkait isu ekonomi oleh kebanyakan pemimpin pembangkang sama ada ketua pembangkangnya dan waima pengerusi PN sendiri, Muyiddin Yassin tidak lebih hanya ibarat orang keracunan yang tercirit-birit melalui mulut. Dan saya sukar memahami bagaimana baru-baru ini ketua penerangan Bersatu boleh menyatakan yang dia—dan kononnya rakyat jelata—keliru dengan ucapan perutusan negara oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Selasa lalu.
Baginya, Anwar seperti “memberikan kuliah ekonomi” dengan “bahasa Melayu yang tinggi.” Dia seakan-akan mahu Anwar ikut menjadi bodoh ekonomi dengan bahasa Melayu yang buruk seperti mereka. Baru sekali ini, seorang Melayu tidak suka PM mempunyai tahap bahasa yang baik. Oh… kesewelan apakah ini?
Tidakkah para pemimpin PN ada sedikit rasa malu dengan ramainya anak-anak muda—misalnya di media sosial seperti di TikTok—yang mana golongan berkenaan jauh lebih waras, profesional dan memberi komen berasaskan kesedaran dan ilmu? Yang bukan Melayu pun, bahasa Melayu mereka bukan alang-alang.
Namun seburuk apa pun Anwar di mata PN, setidak-tidaknya Anwar ada profil panjang ekonomi dan dihormati di pentas dunia serta universiti-universiti ternama. Sedangkan tak ada seorang pun di kalangan jaguh pembangkang, termasuklah Muhyiddin dikenali atau diterima di peringkat global.
Dasar “Ekonomi Manusiawi” yang diwacanai oleh Anwar di dalam bukunya Gelombang Kebangkitan Asia (DBP: terbit pada 1997) wajar menjadi petunjuk pemikiran ekonomi yang hendak dibangunkan Anwar, dahulu dan kini.
Beliau berusaha keras mencari jalan tengah antara perangkap sistem kapitalisme di sebelah kanan, dengan cengkaman Sosialis-Komunisme di sebelah kiri. Jalan tengah itu wajar bermula daripada kefahaman akan sejarah tamadun Islam dengan yang ditunjukkan oleh para pemikir atau sarjana Muslim yang berkelas tinggi; dan bukanlah di kalangan lebai atau si pandir yang kemaruk kuasa.
Perangkap ekonomi Kapitalisme yang lazimnya berlaku ialah sikap tamak elit pedagang yang ingin memunggah kekayaan sehingga tidak berhati perut; sementara cengkaman sosialis-komunisme yang paling ekstrem pula berlaku apabila ekonomi digunakan sebagai alat penindasan manusia ke atas manusia.
Berputik di era PN
Kedua ciri-ciri di atas sudah mulai berputik ketika PN menjadi kerajaan. Di waktu itulah hutang negara mencanak naik sehingga melebihi 60 peratus daripada KDNK. Mulai detik pertama Anwar angkat sumpah sebagai PM, beliau sebenarnya terpaksa mewarisi hutang dan beban tanggungan kerajaan sejumlah RM1.5 trilion!
Si tolol manakah yang tidak boleh memahami penjelasan Anwar bahawa setiap seringgit hasil cukai yang dikutip, 16 sen terpaksa digunakan untuk membayar kadar faedah bagi hutang? Jumlah itu belum lagi puluhan sen untuk membayar hutang pokok.
Bayangkanlah bagi setiap RM100 bilion, RM16 bilion ialah untuk bayar kadar faedah sahaja. Sukar sangatkah untuk pemimpin pembangkang membuat kira-kira di mana RM16 bilion itu kalau tanpa hutang sebesar yang mereka wariskan, boleh digunakan untuk mendirikan sekitar 30 hospital baharu setahun. Dan berapakah pula sekolah, jalan raya, jambatan atau bantuan lain yang sebenarnya dapat dinikmati oleh rakyat kalau RM16 bilion itu menjadi hasil bersih kerajaan?
Muhyiddin nampaknya terus membisu dalam soal hutang yang bertumpuk, sama seperti mana dia membisu soal menantunya yang hilang dan tidak pulang-pulang.
Paling-paling pun, Muhyiddin hanya pernah bercakap bahawa “kerajaan sudah tiada banyak wang lagi”, dan meminta rakyat menggunakan duit sendiri daripada tabungan KWSP. Maksudnya rakyat yang perlu menyelamatkan diri sendiri. Dan Muhyiddin lepas tangan.
Di tengah-tengah puing keruntuhan ekonomi warisan pemimpin terdahulu inilah maka kebijakan ekonomi baru perlu berani diteroka dan diambil Kerajaan Madani. Prinsip keadilan dalam ekonomi perlu dikembalikan, dengan yang maha kaya dan warga asing tidak lagi layak terus diberikan bantuan atau subsidi seperti rakyat Malaysia sendiri yang miskin, melarat dan merempat.
Sangat-sangat zalim apabila kerajaan hanya memberikan subsidi dua-tiga ringgit kepada orang miskin yang membubuh minyak motornya seminggu sekali untuk ke kebun, sedangkan orang kaya dapat beratus ringgit apabila sekali sahaja mengisi minyak kereta besar untuk ke padang golf.
Sila tanya kepada pemandu Muhyiddin atau Hamzah, minyak jenis apa—sama ada RON95 atau RON 97—yang diisi untuk kereta bos-bos mereka? Kalau perlu, tolong pos resitnya di media sosial masing-masing sebagai bukti jumlah isian sebulan.
Lagi kita boleh bertanya, apakah harga ayam, minyak masak dan gula di era Muhyiddin lebih murah berbanding sekarang? Apakah bekalan telur era Muhyiddin cukup berbanding sekarang?
‘Terpaling’ berbahasa rakyat
Semua soalan ini jelas dan tidak mengelirukan, yang perlu dijawab dengan jujur oleh ketua penerangan Bersatu yang ‘terpaling’ berbahasa rakyat itu.
Faktanya yang ayam, minyak masak, telur dan banyak lagi barangan asas jauh lebih mahal di era Muhyiddin jadi PM. Minyak masak pun waktu itu kering kontang hilang entah ke mana.
Bahkan di atas kertas pun, inflasi sebelum ini mencanak sehingga 3.5 ke empat peratus ketimbang yang terkini mulai reda menjadi sekitar 1.5 peratus. Angka berkenaan dikatakan antara yang paling rendah di Asia, yang tidak dicapai oleh negara-negara jiran kita di Asia Tenggara.
Dalam giat-giat untuk memulihkan ekonomi, gaji kakitangan awam nampaknya akan naik mulai Disember depan dengan minima melebihi 15 peratus kenaikan. Di sudut lain, sarana seperti perumahan polis dan tentera, juga pos-pos keselamatan dan kastam sedang dinaik taraf bagi mengelakkan kebocoran berbilion ringgit akibat penyeludupan.
Orang yang punya mata hati akan dapat melihat berapa kerasnya Anwar bekerja, terutama untuk merangkul pelabur asing kembali ke Malaysia. Pelaburan asing yang berkualiti sangat mustahak kerana dengan cara itu, ekonomi Malaysia bisa segera dipacu semula.
Omelan Anwar asyik ke luar negeri nampaknya tidak lebih hanya luahan di kalangan mereka yang terbakar dadanya dengan cemburu. Sementara mereka tidak pula boleh menafikan bahawa Anwar tidak pernah sekejap pun ke padang golf atau berbelanja sakan sepertimana perdana menteri atau menteri-menteri sebelum ini.
Pemimpin PN boleh terus memilih keliru dan mengelirukan. Namun yang jelas ialah perdana menteri ke-10 kita ini mengajarkan bahawa kerja merupakan sebuah perjuangan.
Cukup-cukuplah kata “perjuangan bangsa dan agama”, tapi tidak lebih hanya amalan memfitnah, pembohongan dan keji-mengeji. Inilah umpama makanan beracun yang menjadikan mereka cirit birit melalui mulut sendiri. Uwek!
HASMI HASHIM atau turut dikenali sebagai Budi Hekayat ialah seorang penulis lirik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai