Presiden Colombia arah buka kedutaan di Palestin
Presiden Colombia, Gustavo Petro telah mengarahkan pembukaan kedutaan di bandar Ramallah, Palestin, menurut Menteri Luar Luis Gilberto Murillo pada Rabu, lapor Anadolu Agency (AA).
“Presiden Petro telah memberikan arahan untuk kami membuka kedutaan Colombia di Ramallah. Itu adalah langkah seterusnya yang akan kami ambil,” kata Murillo kepada pemberita.
Pengumuman ini dibuat selepas kerajaan Petro menarik balik diplomatnya dari Israel dan memutuskan hubungan dengan negara itu pada 2 Mei, selepas menyifatkan tindakan Israel di Gaza sebagai "genosid."
Niat untuk membuka kedutaan di Palestin telah diumumkan oleh Petro pada 20 Okt tahun lepas, ketika dia bertemu dengan Duta Israel, Gali Dagan dan Duta Palestin, Raouf Almalki.
Menurut Murillo, presiden juga mengetuai mesyuarat pemimpin di Saint Vincent dan Grenadines, yang mereka bersetuju untuk melaksanakan strategi supaya Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat di PBB.
“Kami yakin bahawa lebih banyak negara akan mengiktiraf Palestin dan ini bukanlah sesuatu yang menentang Israel atau Yahudi.
“PBB bersetuju dalam konteks perjanjian Oslo bahawa penyelesaian dua negara akan diwujudkan dan jika dua negara diperlukan, Palestin perlu diiktiraf sebagai sebuah negara yang sah,” katanya lagi.
Pengumuman ini dibuat pada hari yang sama apabila Sepanyol, Ireland dan Norway mengumumkan bahawa mereka akan bersama-sama mengiktiraf Negara Palestin pada 28 Mei. Colombia mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara pada 3 Ogos 2018, semasa pemerintahan Juan Manuel Santos.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai