Kumpulan anti-Israel berdemo bantah jualan saham MAHB
Sekumpulan aktivis anti-Israel termasuk ahli politik berdemonstrasi bagi membantah tawaran penjualan saham Malaysia Airport Berhad (MAHB) kepada konsortium yang dianggotai Global Infrastructure Partners (GIP).
GIP dikaitkan dengan syarikat pelaburan multinasional Blackrock, yang memiliki pegangan dalam lima syarikat pembekal senjata kepada Israel.
Peserta protes, termasuk anggota parlimen Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkumpul di hadapan bangunan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, pagi tadi.
Dipimpin oleh Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), mereka menyerahkan memorandum bantahan bagi menuntut kerajaan membatalkan proses pengambilalihan pegangan saham MAHB yang melibatkan GIP.
Dalam sidang media di situ, Wan Fayhsal yang juga anggota Parlimen Machang berkata kerajaan tidak sepatutnya menyerang pembangkang kerana membantahnya.
"Kerajaan lupa yang membantah penjualan saham (MAHB) ini bukan sahaja pihak pembangkang malah rakyat Malaysia," katanya.
Desakan dari AS?
Wan Ahmad Fayhsal turut membangkitkan persoalan sama ada kerajaan mendapat desakan untuk meluluskan penjualan saham berkenaan daripada Amerika Syarikat (AS) sempena lawatan delegasi pegawai tinggi AS ke Malaysia, baru-baru ini.
"Apakah kerana ada desakan daripada Setiausaha Perbendaharaan (Brian Nelson) yang datang hari itu berkenaan sanction, kerajaan akhirnya akur untuk meluluskan (penjualan) pegangan ini.
"Kita boleh berbeza pendapat dari segi politik tapi dalam soal melibatkan Blackrock dan aset strategik negara, kita bersetuju dan bersama pada hari ini untuk membuat bantahan. Ini isu utama yang kerajaan tidak dapat jawab," katanya lagi.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menolak dakwaan pembangkang mengenai rancangan untuk menjual pegangan dalam MAHB, yang merupakan pemegang konsesi utama untuk lapangan terbang di Malaysia dengan 39 lapangan terbang di seluruh negara kepada GIP.
Pada 15 Mei lalu, Khazanah Nasional Berhad mengumumkan ia kini menerajui sebuah konsortium, Gateway Development Alliance (GDA), bagi tawaran sukarela prasyarat untuk membeli semua saham dalam MAHB yang belum dimilikinya, dengan harga tawaran RM1 seunit.
Pemegang saham konsortium itu turut merangkumi usaha sama antara Abu Dhabi Investment Authority (Adia) dan GIP - menerusi GIP Aurea Pte Ltd.
Susulan itu, beberapa pihak telah menyuarakan bantahan serta kebimbangan ke atas cadangan penjualan 30 peratus saham MAHB kepada GIP yang juga subsidiari syarikat Blackrock - sebuah firma pelaburan pro Israel.
Sementara itu, jurucakap SSP, Tian Chua berkata tindakan kerajaan menjual pegangan MAHB kepada syarikat asing adalah langkah kurang bijak dan bertentangan dengan proklamasi kerajaan yang secara terbuka dan lantang menyokong Palestin.
"(Tindakan) Ini bertentangan dengan pendirian kerajaan dan aspirasi rakyat Malaysia. Oleh itu, pagi ini rakan-rakan daripada wakil NGO dan parti politik hadir untuk menyerahkan memorandum bagi mengingatkan kerajaan supaya mengambil langkah yang konsisten (dalam isu Palestin).
"Kita juga menyeru kerajaan untuk membatalkan perjanjian dengan GIP bagi mempertahankan aset strategik negara," katanya lagi.
Tambah Tian Chua, kerajaan boleh mengkaji semula rancangan tersebut serta mencari rakan pelaburan lain yang tidak ada sebarang hubungan dengan pihak zionis.
Terdahulu, SSP menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Bahagian (Pentadbiran) Kementerian Pengangkutan Malaysia, Rosli Muhammad di Putrajaya selepas sidang media.
Dalam memorandum berkenaan, SSP menuntut kerajaan menjawab segala persoalan yang berbangkit berkaitan isu penjualan saham MAHB secara tuntas dan profesional kepada umum.
Selain gesaan untuk pembatalan tawaran penjualan tersebut serta menghentikan sebarang penjualan saham kepada GIP sebagai bukti sokongan kerajaan kepada Palestin.
PANDUANKINI l Apakah GIP, apa kaitannya dengan Israel?
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai