Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Mahkamah batalkan sabitan lelaki papar wajah Agong di KKB

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membatalkan sabitan serta hukuman penjara sebulan serta denda RM3,000 ke atas seorang lelaki yang memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, semasa kempen pilihan raya kecil di Kuala Kubu Bharu, awal bulan ini.

Hakim Wendy Ooi Su Ghee memerintahkan agar kes jenayah terhadap P Ramasamy itu dikembalikan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu untuk membolehkan pertuduhan dibacakan semula serta pengakuannya direkodkan.

Ketika dihubungi pagi ini, peguam bela lelaki berusia 66 tahun itu, Rajesh Nagarajan, mengesahkan keputusan permohonan semakan jenayah yang terkait dengan sabitan awal ekoran pengakuan bersalah tertuduh pada 21 Mei lalu.

“Mahkamah (Tinggi) mendapati pengakuan (bersalah sebelum ini) adalah tidak jelas kerana dia tidak memahami sifat dan akibat kesalahan itu.

"Mahkamah tinggi terpaksa campur tangan dengan keputusan mahkamah majistret kerana majistret gagal mengakui bahawa pengakuan itu adalah pengakuan samar-samar, kerana tertuduh dengan jelas menyebut bahawa dia tidak berniat untuk melakukan jenayah yang dituduh ke atasnya itu," katanya.

Tambah Rajesh, kes berkenaan dikembalikan ke mahkamah majistret untuk tertuduh didakwa semula dan pengakuan barunya diambil.

Pada 6 Mei lalu, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 terhadap Ramasamy selepas dia mengaku bersalah ketika didakwa di mahkamah.

Mahkamah memerintahkan lelaki yang bekerja sendiri itu menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap pada 4 Mei selain denda. Dia perlu dipenjara tambahan 10 bulan jika gagal membayarnya.

Ramasamy didakwa melakukan perbuatan itu melalui kereta pacuan empat roda di sekitar Taman Bukit Bunga dekat Hulu Selangor pada jam 5.40 petang, 4 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(A)1 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun, denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Asmah Che Wan manakala tertuduh tidak diwakili semasa prosiding mahkamah tersebut.

Ramasamy telah memohon maaf kepada mahkamah dan merayu untuk hukuman yang lebih ringan, dengan menyatakan bahawa dia tidak menyedari bahawa tindakannya adalah salah.

Asmah pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbuatan itu melibatkan penghinaan ke atas Agong yang merupakan isu sensitif yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.

[Baca berita asal]