Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Gadis India di SJKC, satu-satunya Melayu di kolej

Pada April, Malaysiakini menjemput pembaca untuk berkongsi cerita tentang jalianan persahabatan atau hubungan yang merentasi batas kaum dan agama.

Ada yang mempunyai pengalaman menjadi minoriti kecil di sekolah atau di kolej.

Namun, kisah mereka menjadi bukti bagaimana perbezaan warna kulit tidak menghalang silaturahim sesama manusia.

Ini kisah mereka, dengan kata-kata mereka sendiri.

Pengalaman unik

Kisah muhibah oleh Catherine Joyce

Sebagai seorang berbangsa India di sekolah Cina, saya mempunyai pengalaman yang unik dalam berkongsi budaya.

Saya masih lagi ingat hari pertama saya menjejak ke SJK (C) York Choy, di Ipoh, Perak. Itulah permulaan satu perjalanan yang menakjubkan, yang membentuk saya ke hari ini.

Dalam tempoh 11 tahun sejak hari tersebut, saya membina persahabatan yang berkekalan seumur hidup, menimba ilmu yang sangat bernilai dan membina memori yang tidak dapat dilupakan. Saya juga belajar berkomunikasi dalam Bahasa Mandarin. Ia satu kelebihan yang membantu saya dalam pelbagai cara, sepanjang hidup.

Catherine Joyce (dua dari kanan) bersama rakan-rakan sekolah.

Di sekolah, saya dan rakan-rakan baik saya - Yuvarani, Sook Yei dan Zhi Kuan - tidak dapat dipisahkan sejak hari pertama.

Kami duduk bersama dalam kelas, membuat projek sekolah bersama dan 'mengembara' di seluruh kawasan sekolah semasa waktu rehat. Tempat kegemaran kami ialah pokok lama di depan sekolah. Di situ, kami berkongsi rahsia, cerita dan cita-cita.

Setelah sekian lama meninggalkan bangku persekolahan, saya lalu di hadapan sekolah lama saya dan terus rasa penuh nostalgia.

Pokok lama itu masih lagi berdiri tinggi di hadapan sekolah, mengingatkan saya pada hilai tawa zaman kanak-kanak saya dan memori yang kami cipta bersama.

Saya bersyukur akan persahabatan yang terjalin, ilmu yang dipelajari dan semua pengalaman yang membentuk diri saya hari ini. Hari-hari tersebut sangat indah dan saya akan sentiasa menghargainya.

Tiga sekawan bantu saya berjaya

Kisah muhibah oleh Azamin Amin

Kali pertama saya memasuki kelas di kolej itu, hati saya gamam dan menjadi gugup. Masakan tidak? Sayalah satu-satunya pelajar berbangsa Melayu dan beragama Islam daripada lebih 20 orang pelajar di kelas itu.

Melihat saya agak gementar dan kurang fasih berbahasa Inggeris, seorang pelajar India mendekati lalu menepuk-nepuk belakang saya.

“Jangan risau. You boleh. Kami ada. Kita sama-sama belajar okey," katanya menyejukkan hati saya.

Namanya Manimaran. Dia lebih berusia dan mempunyai kawan baik iaitu Manoj Kumar dan Azman Sagau dari Sabah.

Mereka bertiga menjadi sahabat baik saya selama setahun saya belajar A-Level (Law) di Juara Academy College, Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur pada tahun 1994.

Kuala Lumpur pada tahun 1990an.

Ke mana sahaja kami berempat akan bersama. Study group, main bola, makan dan lepak-lepak lepas kelas juga bersama.

Saya tidak pernah dipinggirkan, jauh sekali mereka mencampuri urusan agama saya. Bila saya solat, mereka tunggu saya. Bila Ramadan, mereka sama-sama menemani saya berbuka puasa.

Dari kawan menjadi keluarga

Di kota metropolitan zaman itu, merekalah kawan dan merekalah keluarga saya.

Saya pernah beberapa kali tidur di rumah Manoj Kumar di flat Sentul dan keluarganya cukup baik melayan saya.

Bila hari raya, Manoj minta saya tunaikan permintaannya untuk membawa dodol untuknya. Ia kuih kegemarannya dan dia tahu betapa susahnya nak buat dodol ini.

Manoj ketika itu seorang pegawai bank. Dia tidak pernah lokek dan selalu belanja saya makan. Dia tahu adakala saya tidak punya cukup wang dan dia dengan senang hati selalu hulurkan sedikit wang kepada saya.

Pensyarah Azamin, Baljit Singh Sidhu, kini peguam terkenal.

Pensyarah saya (Baljit Singh Sidhu, kini peguam terkenal) dan PMS Jassal (pengetua kolej) juga sering memberi motivasi yang tinggi kepada saya ketika itu.

Maklumlah saya sering mendapat keputusan ujian bulanan yang agak terkebelakang. Bayangkan saya perlu belajar ilmu undang-undang melalui bahasa Inggeris tahap tinggi.

Malaysia yang sebenar

Manoj, Manimaran dan Azman tidak putus-putus berkongsi ilmu dan mengajar saya selepas kelas. Perbezaan kaum tidak pernah menjadi sempadan atau halangan untuk kami sama-sama maju bersama.

Di akhir kisah, saya telah mendapat keputusan cemerlang dan dinobatkan antara dua pelajar terbaik kolej pada tahun itu. Malah saya ditawarkan biasiswa daripada pengetua kolej berkenaan.

Ya, selain doa kepada Allah dan sokongan keluarga, tidak kurang juga jasa mereka bertiga yang sentiasa membantu saya hingga mencapai keputusan cemerlang. Saya tidak pernah lupakan.

Persahabatan muhibah kami, adalah antara bukti kita semua boleh hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati. Inilah Malaysia yang realiti, bukan provokasi.

Sejak mendapat keputusan cemerlang itu, sudah 30 tahun saya terputus hubungan dengan mereka. Gambar pun tidak dapat dicari lagi, setelah tiga dekad berlalu.

Seandainya Malaysiakini dapat 'menghubungkan' kembali saya dan tiga sekawan itu melalui tulisan ini, saya sangat hargai dan berterima kasih.