Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

ULASAN | Siapa Ebrahim Raisi?

Presiden Iran Ebrahim Raisi meninggal dunia hari ini berikutan nahas helikopter di wilayah Timur Azerbaijan. 

Ahli politik berusia 63 tahun sejak awal dianggap sebagai pengganti kepada pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei.

Mempunyai hubungan baik dengan badan kehakiman dan elit agama negara itu, dia pada 2017 bertanding jawatan presiden Iran tetapi tidak berjaya. 

Namun empat tahun selepas itu, dia akhirnya dipilih menjawat jawatan nombor satu dalam negara itu.

Sebelum jadi presiden

Raisi belajar di sekolah agama terkenal di Qom, kota penting penganut Syiah di Iran, pada usia 15 tahun dan meneruskan pembelajaran bawah beberapa cendekiawan Muslim pada masa itu. 

Dia kemudian berkhidmat sebagai pendakwa raya di pelbagai bandar sebelum memegang jawatan sebagai timbalan pendakwa raya di Tehran.

Pada tahun 1983, dia berkahwin dengan Jamileh Alamolhoda, anak seorang imam, dan dikurniakan dua anak perempuan.

Raisi mengganggota jawatankuasa yang memutuskan hukuman mati terhadap tahanan politik. Penyertaan itu menyebabkannya dikritik pembangkang dan membawa kepada sekatan Amerika Syarikat terhadapnya pada tahun 1988. 

Dia dilantik sebagai pendakwa Teheran pada 1989 berikutan kematian Ayatollah Khomeini.

Bertanding sebagai presiden

Walaupun kalah pada 2017, Raisi akhirnya memenangi pilihan raya 2021 dengan 62 peratus undi. Bagaimanapun, pilihan raya itu dilihat suram apabila peratusan orang yang keluar mengundi rendah. 

Semasa menjadi presiden, Raisi menghadapi cabaran termasuk rasa tidak puas hati rakyat berikutan kemerosotan kualiti hidup dan tindakan keras terhadap pembangkang. 

Pada penghujung 2022, protes meletus akibat kematian seorang wanita dalam tahanan polis moral, yang menyebabkan kritikan antarabangsa terhadap Iran.

Kontroversi 

Raisi terlibat dalam pertikaian antarabangsa disebabkan oleh ketidakpuasan terhadap pendekatan Amerika Syarikat terhadap Perjanjian JCPOA atau perjanjian nuklear Iran. 

Dia menentang tindakan AS dengan mengumumkan peningkatan program nuklear Iran tanpa niat untuk mengeluarkan bom nuklear.

Baru-baru ini, dia membawa Iran melalui konflik dengan Israel susulan serangan tanpa henti rejim itu terhadap wilayah Palestin, Gaza.

Iran lantang mengutuk serangan kejam Israel terhadap penduduk Palestin, begitu juga dengan sekutu-sekutunya di rantau yang dikenali sebagai "paksi perlawanan" terhadap Israel dan sekutu-sekutunya di Barat.

Pada awal April, kedutaan Iran di Damsyik, Syiria diserang. Ia meragut tujuh nyawa termasuk seorang pegawai tertinggi dan timbalannya. Israel dipersalahkan dalam serangan itu.

Iran melancarkan, dengan kebanyakannya dipintas, dari luar sempadan Israel pada 15 April. Kerosakan kecil dilaporkan di beberapa kawasan di Israel, dan serangan itu membawa kepada tindak balas Israel.

Persaingan serantau antara Iran dan Israel juga dapat dilihat di Syria, di mana Israel melancarkan pelbagai serangan selama bertahun-tahun. Ia pada dasarnya cuba melemahkan ketenteraan Iran di sana.

Iran mempunyai hubungan rapat dengan Syria selama bertahun-tahun dengan menyokong Presiden Bashar al-Assad yang terperangkap dalam perang saudara 13 tahun.

Dia mempunyai hubungan kukuhnya di semua peringkat dalam kerajaan Iran, sekali gus menjadikannya calon unggul untuk mempertahankan jawatan presiden negara itu.


Rencana ini diolah semula daripada Al Jazeera oleh wartawan pelatih SITI NUR SHAHIRAH OMAR.

Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.