Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Teresa diugut bunuh, terima peluru

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menerima ugutan bunuh dalam bentuk surat termasuk dua butir peluru yang dihantar ke kediamannya.

Kok melalui hantaran di media sosial berkata dia menemui surat dan peluru itu di dalam peti surat di kondominiumnya malam tadi.

“Semalam bila saya pulang ke kediaman rumah saya dan mengambil surat di peti surat saya, saya dapati ada satu sampul surat yang mengandungi benda yang agak keras di dalamnya.

"Bila saya buka sampul surat dan keluarkan kandungannya, saya mendapati dua butir peluru dan satu kertas putih saiz A4 bertulis:- “C*b**lu Cina?!!! Lu akan mati!!!TUNGGU!!!”

Bercakap kepada Malaysiakini, ahli parlimen DAP itu berkata dia telah membuat laporan polis mengenai perkara itu kira-kira jam 9.48 malam tadi di balai polis Petaling.

Katanya, surat dan peluru itu juga telah diserahkan kepada polis. Pasukan polis telah memeriksa peti surat di kondominiumnya untuk siasatan lanjut.

Sekarang ahli politik jadi sasaran

Ditanya jika dia tahu sebab di sebalik ancaman yang tidak menyenangkan itu, dia menjawab, "saya juga terkejut mendapat peluru."

“Ia seolah-olah satu tren untuk menyasarkan polis, Yang di-Pertuan Agong dan sekarang, ahli politik.

“Saya tidak tahu mahu komen apa sekarang kerana saya sibuk dan tiada masa untuk risau tentang kes ini...

"Saya akan lebih berhati-hati mulai sekarang... Tetapi saya perlu menjalankan tugas seperti biasa,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Pada hantaran Facebook berasingan, Kok berkata Ketua Polis Daerah Brickfields Ku Mashariman Ku Mahmood dan pegawai penyiasat telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengannya petang ini.

“Saya berterima kasih atas keprihatinan KPD Brickfields dan pegawainya terhadap laporan saya.

“Saya yakin polis dapat menjalankan siasatan dengan profesional,” tulisnya dalam catatan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menegaskan kerajaan mengecam tindakan pihak yang mengugut dan mengancam keselamatan ahli parlimen di negara ini.

“Saya kesal kerana perkara ini tidak harus diperlakukan kepada mana-mana ahli parlimen yang telah dipilih oleh rakyat.

“Mereka ada hak untuk bersuara dan ini terpakai sama ada mereka adalah ahli parlimen di pihak kerajaan atau pembangkang, jangan diugut kerana mereka adalah suara rakyat,” katanya seperti dipetik Bernama.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan polis mengenai sepucuk surat amaran dan ugutan terhadap Kok.

"Hasil siasatan awal pihak polis mendapati sampul surat yang dikirim mengandungi sekeping nota berbentuk amaran dan dua butir peluru.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.

"Kes masih di peringkat siasatan dan pihak polis memandang serius perkara ini dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menganggu siasatan," katanya lagi.