Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Fadhlina jawab PAS: Lawatan mengejut memang tak boleh

Mana-mana orang kenamaan dan ahli politik yang ingin melawat institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan harus mengemukakan permohonan awal, kata menterinya Fadhlina Sidek.

Dia berkata demikian ketika menjawab dakwaan berkaitan mesej sekatan kepada pembangkang daripada menghantar kek penghargaan sempena Hari Guru di sekolah.

“Sebarang permohonan undangan atau lawatan orang kenamaan dan ahli politik perlu dikemukakan lebih awal untuk pertimbangan. 

“Lawatan ke institusi pendidikan KPM secara tidak dirancang (ad hoc) adalah tidak dibenarkan,” kata Fadhlina ketika menjawab pesanan teks Malaysiakini sebentar tadi.


Baca: PAS dakwa pembangkang dilarang hantar kek Hari Guru


Dia bagaimanapun tidak menyentuh khusus kepada mesej yang beredar itu. 

Mesej itu dikatakan dikeluarkan seorang pegai kanan kementeriannya supaya pengetua dan guru besar tidak membenarkan pembangkang menghantar kek mereka.

Alasan diberikan bagi menghormati prinsip government of the day (kerajaan semasa).

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan keaslian mesej itu (bawah).

Pihak menteri berkata mereka juga tidak jelas berkaitan sumber mesej itu.

Sementara itu, Fadhlina berkata terdapat garis panduan yang perlu  dijadikan rujukan untuk mengurus undangan orang kenamaan dan ahli politik ke institusi pendidikan bawah kementerian itu.

Garis panduan itu, katanya, bertajuk “Undangan atau Lawatan Orang Kenamaan dan Ahli Politik ke Institusi Pendidikan Bawah KPM”.

Ia dikeluarkan melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 4, Tahun 2023.

“Garis panduan ini penting dan perlu dipatuhi demi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan,” katanya.

Fadhlina juga berkata ia terpakai kepada semua ahli politik tidak kira daripada pihak kerajaan atau pembangkang.

Terdahulu pemimpin PAS mendedahkan dakwaan sekatan itu dan menuntut penjelasan kerajaan.

Menyifatkan perkara itu sebagai memalukan, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata terdapat anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) mereka yang menjadi mangsa sekatan itu.