Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

BNM: Inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana tahun ini

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal sederhana tahun ini, masing-masing antara 2.0 peratus hingga 3.5 peratus dan antara 2.0 peratus hingga 3.0 peratus pada 2024, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, hal ini secara amnya mencerminkan permintaan yang semakin stabil dan tekanan kos yang terkawal, bersama-sama dengan kemungkinan inflasi meningkat yang berpunca daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api.

“Prospek sepanjang tahun ini bergantung pada pelaksanaan dasar dalam negeri berhubung dengan subsidi dan kawalan harga, serta perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan,” katanya ketika mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2024 di Kuala Lumpur hari ini.

Abdul Rasheed berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2024 disokong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan permintaan luaran yang bertambah baik.

Dia berkata pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan akan menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan dalam projek infrastruktur berbilang tahun merentas sektor swasta dan sektor awam, di samping pelaksanaan inisiatif pemangkin yang diumumkan dalam pelan induk nasional serta lebih banyak pelaburan yang diluluskan kini direalisasikan.

“Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus bertambah baik,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Rasheed berkata prospek pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang kian meruncing dan pengeluaran komoditi dalam negeri yang berkurang lebih banyak.

“Meskipun begitu, terdapat risiko pertumbuhan lebih tinggi yang berpunca daripada limpahan peningkatan yang lebih besar kitaran teknologi, aktiviti pelancongan yang lebih memberangsangkan dan pelaksanaan projek pelaburan sedia ada dan baru yang lebih cepat,” katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!