Harimau belang maut dilanggar di Lebuhraya KL-Karak
Seekor harimau belang dilaporkan mati dipercayai dilanggar sebuah kereta di Kilometer 50.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah barat awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang Rozidan Md Yasin berkata kejadian berkenaan dikatakan berlaku sekitar 1.23 pagi.
"Harimau jantan itu dianggarkan berusia empat tahun dengan berat sekitar 130 kilogram.
"Berdasarkan jangkaan awal harimau belang itu datang dari kawasan Hutan Simpan Bukit Tinggi sebelum kejadian tersebut berlaku," katanya di Kuantan hari ini.
Menurutnya bangkai haiwan liar itu telah diambil oleh pihaknya untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pengendali KLK dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) Anih Berhad dalam kenyataan memaklumkan pemandu kenderaan yang terlibat dalam kejadian itu berada dalam keadaan selamat.
Menurut syarikat konsensi itu pihaknya telah mengambil langkah segera untuk menangani isu tersebut bersama polis dan Perhilitan bagi memastikan keselamatan semua.
“Beberapa langkah segera telah diambil termasuk membersihkan lokasi kejadian, mengalihkan bangkai harimau dan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan selanjutnya.
"Kami sangat memahami kepentingan melindungi spesies yang terancam seperti harimau, dan komited untuk memastikan keselamatan serta pemuliharaannya," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Anih berharap masyarakat dapat bersama-sama dalam usaha mencegah kejadian serupa dan meningkatkan keselamatan ketika pemanduan agar dapat membantu pemuliharaan haiwan terancam berkenaan demi manfaat bersama dan generasi akan datang.
- Bernama
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai