Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Meta benarkan kembali berita PM jumpa Hamas di Facebook

Meta telah memulihkan hantaran di Facebook daripada media tempatan yang melaporkan pertemuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan pemimpin politik Hamas Ismail Haniyeh.

"Dua hantaran telah diturunkan secara silap dan kini telah dibenarkan kembali," lapor Reuters memetik kenyataan jurucakap Meta dalam e-mel kepada agensi itu.

Fahmi Fadzil

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil membidas Meta kerana menurunkan hantaran di media sosial mengenai pertemuan Anwar dengan delegasi Hamas, yang diketuai Ismail, di Qatar pada Isnin lalu.

Fahmi, yang juga jurucakap kerajaan, berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan menghantar surat kepada Meta untuk meminta penjelasannya tentang apa yang berlaku dan menyusulinya dengan suratnya sendiri.

Hantaran di Facebook yang diturunkan adalah daripada Malaysiakini dan Sinar Harian.

Alasan yang diberikan kepada Malaysiakini ialah hantaran itu bertentangan dengan piawaian masyarakat mengenai “individu dan organisasi berbahaya”.

Hantaran tersebut, bagaimanapun dibenarkan semula petang semalam, selepas bantahan terbuka Fahmi.

Sebelum ini, akaun Facebook, satu lagi portal berita, Malaysia Gazette, dipadam selepas ia menyiarkan laporan tentang Palestin bulan lalu. Portal itu terpaksa membuka akaun baharu.

Sebelum ini, Meta telah menurunkan hantaran daripada akaun media sosial rasmi Anwar mengenai ucapan perdana menteri pada perhimpunan Solidariti dengan Palestin di Kuala Lumpur pada Oktober tahun lepas.