Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

‘Reformasi domestik mesti selari dengan di peringkat luar negara’

  • Dikemas kini dengan berita penuh.


Ahli politik veteran Tian Chua memuji dasar luar negara yang menurutnya telah melalui proses reformasi ke arah lebih positif, walaupun berdepan tekanan negara besar.

Tidak menghuraikan lanjut, bekas pemimpin PKR yang dipecat itu bagaimanapun berharap agenda reformasi turut dilakukan terhadap dasar-dasar lain dalam negara.

“Saya harap perkara yg sama juga berlaku dalam isu domestik,” katanya kepada pemberita di depan ibu pejabat polis Sentul, Kuala Lumpur hari ini.

“Dari segi perhubungan antarabangsa saya rasa kerajaan telah berjaya melakukan beberapa langkah yangg sangat positif mempertahankan maruah kita.”

Tian Chua berkata demikian ketika ditanya pemberita berkaitan dakwaan Perdana Menteri Anwar gagal melaksanakan agenda reformasi setelah kira-kira setahun setengah mentadbir Malaysia.

Selain pembangkang, beberapa NGO berpengaruh seperti Bersih dan Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) mengkritik Anwar sebagai gagal melaksanakan agenda reformasi yang dilaungkan ketika menjadi pembangkang.

Malaysia antara negara yang lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin, khususnya di wilayah Gaza yang diserang Israel sejak berbulan-bulan lalu.

Terbaru, Anwar bertemu delegasi pergerakan Palestin Hamas, yang diketuai oleh pemimpin politiknya Ismail Haniyeh di Qatar.

Perubahan harus libatkan semua

Sementara itu, ditanya berkaitan kenyataan Anwar bahawa perubahan secara radikal hanya akan mencetuskan kemarahan, dia tidak memberikan jawapan khusus.

Tian Chua, antara tulang belakang gerakan reformasi 1998, berkata sebarang agenda perubahan harus didukung oleh masyarakat secara keseluruhan.

“Saya agak itu kenyataan umum, saya tidak tahu apa konteksnya.

“Bagi saya apa-apa tindakan reformasi hanya boleh berjaya sekiranya didukung oleh masyarakat keseluruhan,” katanya.

Bekas naib presiden PKR itu percaya perubahan dalam negara harus melibatkan semua pihak termasuk pembangkang.

“Reformasi adalah satu proses pembinaan negara. Tanggungjawab harus dipikul kedua pihak.

“Saya harap untuk melihat reformasi negara berjaya. Saya harap ada sepakat. Kurangkan permusuhan politik,” katanya.

Di pentas Forum Ekonomi Qatar semalam, Anwar ditanya berkaitan kritikan terhadap pelaksanaan reformasi yang didakwa perlahan dalam negara.

Katanya, perubahan radikal hanya akan memabngkitkang kemarahan dan kekecewaan, seperti kegagalan di negara-negara Eropah.

“Ia haru-biru. Kamu jangka kumpulan elit ada semua jawapan tanpa perlu berinteraksi dengan orang ramai,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!