Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Syed Saddiq dapat sementara pasport untuk ke Singapura, Taiwan

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkannya ke Singapura dan Taiwan.

Panel tiga hakim yang diketuai hakim Hadhariah Syed Ismail sebulat suara membenarkan pasport diserahkan sementara kepada Syed Saddiq mulai hari ini hingga 18 Jun.

Ketika ditanya hakim, timbalan pendakwa raya Mohd Afif Ali berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan.

Panel yang dianggotai hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Azmi Ariffin itu turut membenarkan permohonan peguam Syed Saddiq Hisyam Teh Poh Teik supaya mahkamah rayuan mengeluarkan surat agar ketua pengarah Imigresen membenarkan perjalanan Syed Saddiq ke luar negara.

"Pasport itu akan dipulangkan pada atau selewat-lewatnya 18 Jun," kata Hadhariah.

Mahkamah sebelum ini menahan pasport Syed Saddiq, sementara menunggu rayuannya untuk membatalkan sabitan bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah, penyelewengan dana dan pengubahan wang haram.

Pada 8 Mei, Bernama melaporkan Syed Saddiq memfailkan permohonan untuk mendapatkan sementara pasportnya supaya dia dapat menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan rakan karibnya di Singapura pada 18 Mei.

Dalam afidavit sokongan yang difailkannya, Syed Saddiq berkata dia berhasrat menerima jemputan George Yeo Yong-Boon, yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, kerana rakan karibnya itu sering memberi nasihat dan panduan kepadanya agar menjadi ahli politik berintegriti.

Syed Saddiq, 31, juga berkata dia dijemput sebagai salah seorang wakil Malaysia oleh Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei Di Malaysia untuk melawat Taiwan dari 10 Jun hingga 15 Jun.

Pada 9 November tahun lalu, Syed Saddiq dihukum penjara tujuh tahun dan denda RM10 juta serta dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah, menyeleweng dana dan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan yang ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan pada 12 Julai.

Syed Saddiq, 31, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Dia juga didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan

Dia juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!