Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

HLIB semak naik unjuran pertumbuhan KDNK kepada 3.9 peratus

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) telah menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2024 kepada +3.9 peratus tahun ke tahun.

Jangkaan ini sepadan dengan unjuran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) dan ramalan median konsensus, kata bank itu dalam nota penyelidikan hari ini.

“Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2024 kami pada +4.8 peratus tahun ke tahun sementara menunggu angka KDNK suku pertama 2024 dikeluarkan di sebalik permintaan domestik yang menyokong dan pemulihan dalam aktiviti perdagangan global,” katanya.

HLIB berkata pertumbuhan dijangka didorong oleh prestasi lebih kukuh merentas kebanyakan sektor khususnya sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan manakala sektor pertanian menyederhana.

Dari segi permintaan, ia berkata pertumbuhan dijangka diterajui kebanyakannya oleh penggunaan swasta dan pemulihan dalam aktiviti eksport.

“Inisiatif pengenalan Akaun Fleksibel (Akaun 3) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mulai Mei 2024 dan kenaikan gaji penjawat awam pada Disember 2024 juga dijangka meningkatkan lagi penggunaan swasta walaupun tahap itu mungkin dineutralkan tertakluk kepada pembaharuan subsidi yang belum selesai,” katanya.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd berkata suku pertama 2024 menyaksikan prestasi yang lebih kukuh untuk Indeks Pengeluaran Perindustrian, Indeks Perkhidmatan, Nilai Kerja Pembinaan dan pengeluaran Minyak Sawit Mentah.

Oleh itu, ia berkata KDNK suku pertama 2024 dijangka berkembang +4.2 peratus tahun ke tahun berdasarkan petunjuk berkenaan.

“Unjuran pertumbuhan KDNK sebenar suku pertama 2024 kami adalah berdasarkan jangkaan pertumbuhan sebenar berbanding ramalan awal yang lebih pantas untuk perkhidmatan,” katanya.

Angka KDNK 1S 2024 sebenar akan dikeluarkan pada 17 Mei 2024.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!