Wakil Umno, MCA, PKR dan Amanah jadi Adun lantikan di Pahang
Sidang DUN Pahang hari ini meluluskan usul yang dikemukakan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail untuk melantik empat ahli politik sebagai Adun lantikan.
Mereka ialah Ketua Umno Jerantut Haris Salleh Hamzah, Pengerusi Amanah Pahang Mohd Fadzli Mohd Ramly, Ketua MCA Temerloh Wong Tat Chee dan Timbalan Pengerusi PKR Pahang Rizal Jamin.
Seorang lagi yang dilantik adalah pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ahmad Irshadi Abdullah.
Usul itu antara lain dibahas oleh tiga Adun PAS iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man (Cheka), Andansura Rabu (Beserah) dan Mohd Sofian Abdul Jalil (Luit).
Mereka memohon usul itu ditangguhkan terlebih dahulu untuk menilai semula nama dicadangkan kerana bimbang ia tidak mewakili suara minoriti seperti golongan orang kurang upaya (OKU), Orang Asli dan kaum India yang hanya mempunyai seorang wakil di DUN ketika ini.
Bagaimanapun, permohonan untuk menangguhkan usul itu ditolak dan diluluskan sidang DUN selepas menerima sokongan majoriti mudah ahli Dewan.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga timbalan presiden PAS dalam sidang media selepas sidang DUN memberitahu, tindakan menolak permohonan untuk menangguhkan usul tersebut menunjukkan kerajaan Pahang seolah-olah tidak yakin dengan kekuatan mereka ketika ini.
"Kalau mereka kuat, mereka tak perlu pun lantik segera Adun lantikan ini...ia seperti mereka tidak yakin dengan kekuatan sendiri," katanya.
Adun Kuala Sentul dari Bersatu, Jasri Jamaludin pula menegaskan pelantikan itu bermotifkan politik semata-mata.
"Kita boleh tengok sendiri, empat daripadanya adalah ahli politik yang masih aktif...memegang jawatan dalam parti seperti Pengerusi Amanah Pahang (Mohd Fadzli) dan Timbalan Pengerusi PKR Pahang (Rizal), begitu juga Haris Salleh," katanya lagi.
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai