Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Chong pertahan keputusan tak sokong usul penghargaan khas buat Taib

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mempertahankan keputusannya untuk tidak menyokong usul penghargaan khas kepada Allahyarham Abdul Taib Mahmud di DUN Sarawak.

"Pengundi memilih saya untuk ke DUN Sarawak bagi menjadi suara mereka, bukan untuk bercakap hal-hal yang menyenangkan kepada GPS.

"Maka, dengan 80 daripada 82 Adun yang menyokong usul itu, memang wajar apabila sekurang-kurangnya dua orang bercakap bagi pihak rakyat yang tidak setuju dengan usul itu dan agar pandangan itu direkodkan.

"Kecaman Adun GPS terhadap saya hanya menunjukkan keangkuhan dan kecenderungan membuli oleh GPS di DUN," katanya yang juga ahli parlimen Stampin dan Adun Padungan.

Pada Rabu lalu, Chong berkata walaupun dengan sumbangan Taib terhadap pembangunan Sarawak, terdapat juga rasa sangsi yang menyelubungi pentadbiran Taib ketika dia menjadi ketua Menteri.

Susulan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Fatimah Abdullah mengkritik Chong, dengan berkata tindakan itu tidak wajar, bertentangan dengan nilai Asia dan tidak menghormati orang yang sudah meninggal dunia.

Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman juga menggesa agar Chong tidak menyatakan pandangannya ketika usul itu dibawa.

"Adun GPS ini (Fazzrudin) patut belajar hormat dan hargai pandangan berbeza dan tidak cuba menutup pandangan dan suara yang berbeza," kata Chong bagi menjawab gesaan itu.

"Allahyarham Taib adalah tokoh kontroversi ketika menjadi ketua menteri Sarawak.

"Walaupun dia menyumbang kepada pembangunan negeri, dia juga membenarkan penghakisan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963. Tadbir urus juga menjadi kebimbangan besar ketika eranya (dan juga sekarang," katanya lagi.

Dia berkata gesaan agar tidak menyuarakan pandangan berbeza tidak baik untuk demokrasi di Sarawak dan bertentangan dengan kepentingan rakyat biasa di negeri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!