Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Kehadiran pegawai AS: Malaysia mesti berhati-hati, kata pakar ekonomi

Kehadiran Pegawai Perbendaharaan bagi Keganasan dan Perisikan Kewangan Amerika Syarikat (AS), Brian Nelson dengan ‘amaran’ tertentu perlu ditangani dengan berhati-hati oleh kerajaan, kata pakar ekonomi terkemuka Jomo Kwame Sundaram.

Menurutnya tidak jelas apa yang terselindung di sebalik kehadiran pegawai AS itu kerana ia tidak diumum secara terang-terangan.

“Apa yang wajar, kita buat. Tetapi saya rasa tidak ada apa sangat yang wajar. 

“Kalau dia marah, kononnya kita anti syarikat-syarikat (pembekal senjata), itu melibatkan orang persendirian bukan pemerintah,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui Malaysiakini selepas majlis pelancaran buku Malaysia's New Economic Policy in its First Decade tulisan Dr Toh Kin Woon anjuran Gerak Budaya di Petaling Jaya, hari ini.

Dia diminta mengulas laporan mengenai kehadiran Nelson yang menyatakan sekatan yang dikenakan pada Disember lalu ke atas empat syarikat dari Malaysia yang didakwa membantu pengeluaran dron Iran akan memberi kesan.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Nelson bagaimanapun enggan mengulas mengenai senario terburuk yang boleh berlaku kepada negara ini.

“Kunjungan ini adalah untuk menyedarkan Malaysia tentang kebimbangan kami dan kami bekerjasama dengan mereka untuk menangani kebimbangan tersebut. 

“Malaysia jelas tidak mahu institusi kewangan dan industri perkapalannya disalahgunakan oleh negara penyangak. 

"Kami tidak mahu itu kerana kepentingan kedudukan Malaysia, sebagai negara perdagangan dan sebagai pusat kewangan serta memandangkan kehadiran perniagaan Amerika yang ketara di sini," katanya. 

Sementara itu pada Khamis lalu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya memahami kebimbangan disuarakan Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan wujudnya aktiviti penyaluran dana kepada kumpulan pengganas di negara ini.

Katanya pada pertemuan itu Nelson turut menyuarakan berkenaan dakwaan pembabitan pertubuhan, individu dan syarikat di negara ini dalam aktiviti pembiayaan keganasan. 

"Apa yang mereka bentangkan kepada kita berdasarkan kepada maklumat sepihak yang mereka ada, yang memerlukan beberapa proses verifikasi di peringkat kita. 

"Kita tegaskan bahawa polisi Malaysia hanya mengiktiraf sekatan yang dikemukakan Majlis Keselamatan PBB dan bukan sekatan oleh satu-satu negara dan delegasi AS menghormati pendirian kita," jelasnya. 

Dalam perkembangan itu Jomo berkata dalam pengetahuannya Malaysia tidak melakukan apa-apa yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

“Setahu saya kerajaan memang sokong Palestin, tetapi tidak ada melakukan apa-apa yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa termasuk WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia) dan sebagainya. 

“Jadi saya rasa tidak ada apa sangat yang membimbangkan, tapi agak sukar untuk saya komen kerana ini sesuatu yang tidak jelas bagi kita.

“BDS Malaysia itu berkesan, tetapi mereka yang terlibat dengan BDS itu bukan pemerintah” katanya.