Dengan sokongan Cina kurang 5 peratus, Gerakan gesa ahli MCA undi PN
PRK KKB | Sehari menjelang hari mengundi, Presiden Gerakan Dominic Lau mengakui sokongan masyarakat Cina terhadap PN di tahap bawah lima peratus.
Justeru, Lau menggesa ahli MCA dan empat lagi kumpulan pengundi Cina untuk memilih calon PN Khairul Azhari Saut esok.
"Daripada maklum balas yang kita terima sejak dua minggu lalu, terutama daripada komuniti Cina...tinjauan dan kiraan kami menunjukkan kadar sokongan pengundi Cina terhadap PN tak akan lebih lima peratus," katanya dalam sidang media di Kuala Kubu Bharu, hari ini.
Lau juga mendakwa pengundi Cina yang tidak puas hati dengan kerajaan pimpinan PH berhasrat untuk tidak keluar mengundi.
Namun dia menggesa mereka untuk tidak berbuat demikian dan sebaliknya mengundi PN sebagai protes.
"Anda perlu keluar mengundi, dan mengundi PN. Hanya dengan beri kemenangan pada PN kita boleh memberi peringatan dan pengajaran kepada DAP, PH, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan," katanya.
Lau secara khusus menyasarkan lima kumpulan pengundi Cina:
Mereka yang tidak puas hati dengan kenaikan Harga barang dan kemerosotan nilai ringgit
Golongan B40
Mereka yang menyokong keluarga mendiang Teoh Beng Hock
Ahli MCA yang tidak puas hati dengan DAP
Ahli DAP yang tidak puas hati dengan kepimpinan yang tidak mencalonkan orang tempatan
Lau turut membangkitkan rasa tidak puas hati MCA terhadap DAP.
"Kami dengar ada yang kata DAP dan setiausaha agungnya, Anthony Loke telah menghina mereka (ahli MCA)...Jadi, saya juga gesa ahli MCA untuk keluar mengundi PN," katanya.
Dia turut menafikan Gerakan hanyalah "hiasan" dalam PN.
Dia membuat perbandingan dengan DAP, yang menurutnya merupakan parti terbesar dalam PH dengan 40 kerusi Parlimen, namun masih gagal memenuhi janji pilihan rayanya seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), menutup Lynas dan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma).
"Jika kami perhiasan, maka DAP juga hanya perhiasan dalam PH.
"Anda (DAP) ada 40 kerusi Parlimen; anda bukan macam Gerakan, yang hanya ada seorang Adun. Jika anda ada 40 kerusi Parlimen dan tidak dapat capai (apa yang dijanjikan), maka anda hanya perhiasan," katanya lagi.
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai