Isu type C: Syarikat ayam goreng DFC pindah 'admin' FB ke bahagian lain
Pengurusan Restoran DarSA Fried Chicken (DFC) telah bertindak memindahkan staf yang terlibat dalam kontroversi berkaitan komen berbaur perkauman pada laman Facebook rasmi restoran itu ke bahagian operasi lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Mohammed Faiz Zuhdi berkata pihaknya mengambil tanggungjawab serius dan mendakwa tindakan staf terbabit tidak mencerminkan pandangan atau nilai yang dipegang oleh DFC.
"Sebagai tindakan tegas, pengurusan tertinggi telah memutuskan untuk memindahkan staf tersebut ke bahagian operasi yang lain.
"Staf tersebut seorang perempuan dan tidak memiliki latihan atau pengalaman dalam mengendalikan media sosial. Saya percaya dia tiada niat (yang tidak baik).
“Bahkan sejam sebelum kejadian saya telah memberi arahan untuk tidak menjawab sebarang komen di media sosial," katanya pada sidang media di Restoran DFC Rawang, hari ini.
DFC, yang membuka cawangan pertamanya pada 29 April lalu, mengundang bidasan daripada pengguna media sosial yang mempertikaikan harganya.
Restoran yang disebut-sebut sebagai alternatif kepada KFC, itu dikecam kerana harganya yang mahal.
Namun sebaliknya, ia mengingatkan seorang pelanggan agar tidak "ditipu oleh sentimen buruk yang dimainkan oleh 'type C", yang dipercayai merujuk kepada kaum Cina di Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohammed Faiz berkata, dia tidak menyalahkan staf berkenaan dan menganggap apa yang berlaku mungkin disebabkan emosi.
Katanya, kesilapan itu turut berpunca daripada kelemahan pengurusan yang terlepas pandang.
Sementara itu, Mohammed Faiz turut mengesahkan bahawa pihaknya belum dipanggil oleh mana-mana pihak berkuasa susulan kejadian itu.
"Setakat ini kita tidak ada apa-apa panggilan daripada pihak polis tapi pihak pengurusan bersedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa dalam isu ini.
“Tapi kita harap isu ini tidak berpanjangan dan hanya mahu fokus kepada perniagaan," katanya lagi.
Susulan kontroversi yang berlaku, menurut Mohammed Faiz, DFC telah melantik pasukan profesional yang akan menguruskan komunikasi syarikat serta pengurusan media sosial.
"Pengurusan tertinggi DFC telah membentuk satu pasukan yang berpengalaman untuk mengurus dan memastikan pengurusan komunikasi serta media sosial yang lebih berkesan.
"Pasukan itu juga akan memantau semua kandungan, maklum balas dan komen yang dihasilkan dengan lebih ketat. Setiap hantaran dan maklumbalas harus mendapat kelulusan pengurusan tertinggi terlebih dahulu sebelum disiarkan.
"Ini untuk memastikan kesesuaian dan kepatuhan terhadap standard etika kami," tambahnya.
Sementara itu, DFC turut merancang untuk mengadakan majlis kesyukuran atau rumah terbuka dalam tempoh terdekat bagi menghargai pelanggan dan orang ramai yang menyokongnya selepas 10 hari restoran itu beroperasi.
"Kita akan merancang untuk memberi satu hadiah kepada semua yang menyokong kami, kita akan membuat kenduri besar-besaran insya-Allah," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai