Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Saifuddin: Wakil AS beri maklumat sepihak isu pembiayaan keganasan

Malaysia berpendirian teguh tidak menyokong kegiatan kumpulan pengganas serta terus komited untuk membanteras pembiayaan aktiviti keganasan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) memahami kebimbangan disuarakan Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan wujudnya aktiviti penyaluran dana kepada kumpulan pengganas di negara ini.

“Pagi tadi, Brian Nelson (Setiausaha Rendah Perbendaharaan AS bagi Keganasan dan Risikan Kewangan) dan delegasinya menemui saya dan juga pasukan KDN. Perkara itu (pembiayaan keganasan) dibentangkan.

“Mereka bertanyakan tentang komitmen kita terhadap usaha membanteras pembiayaan keganasan. Kita sebut dari sudut komitmen serantau di peringkat Asean ataupun di peringkat global atau di polisi di peringkat KDN sekalipun (tidak menyokong kegiatan kumpulan pengganas)," katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Sambutan Aidilfitri Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kajang, Selangor hari ini.

Brian Nelson

Dia berkata wakil AS itu juga dimaklumkan bahawa Malaysia mempunyai pelan strategik yang sangat jelas dalam menangani kegiatan pembiayaan dan penggubahan wang haram.

"Dasar dan strategi yang digariskan kita (KDN) selaras dengan ketetapan global baik di peringkat Basel II atau Basel III (Perangkaan bebas indeks risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganas). Mereka (AS) jelas tentang perkara itu dan mereka menghargai usaha yang kita buat," katanya.

Katanya lagi, pada pertemuan itu Nelson turut menyuarakan berkenaan dakwaan pembabitan pertubuhan, individu dan syarikat di negara ini dalam aktiviti pembiayaan keganasan.

"Apa yang mereka bentangkan kepada kita berdasarkan kepada maklumat sepihak yang mereka ada, yang memerlukan beberapa proses verifikasi di peringkat kita.

"Kita tegaskan bahawa polisi Malaysia hanya mengiktiraf sekatan yang dikemukakan Majlis Keselamatan PBB dan bukan sekatan oleh satu-satu negara dan delegasi AS menghormati pendirian kita," katanya.

Dia berkata Malaysia sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan AS bagi membanteras isu pembiayaan keganasan dan perkara tersebut harus bersifat menyeluruh serta tidak boleh menjadi usaha sepihak sahaja.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!