Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Kerajaan digesa tubuh j'kuasa pantau program masyarakat India

Majlis Penasihat India Selangor (SICC) mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa bagi memantau pelaksanaan semua perancangan dan program untuk masyarakat India.

Pengerusi SICC Charles Santiago berkata, jawatankuasa itu boleh diletakkan di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memantau peruntukan untuk pembangunan masyarakat India yang disalurkan kepada agensi seperti Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).

Katanya, ada beberapa isu penting yang perlu diperhatikan berhubung pelaksanaan program tersebut, antaranya jumlah yang membuat permohonan dan jumlah yang menerima bantuan.

"Kedua, apakah impak sosialnya? Adakah pendapatan mereka meningkat?

"Selain itu, jawatankuasa ini perlu diberi kuasa untuk menentukan apakah sebarang impak sosial (yang terhasil) melalui peruntukan yang disalurkan untuk mengatasi masalah masyarakat India," katanya pada sidang media di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Charles berkata, laporan lengkap diperlukan berkenaan impak yang terhasil daripada program-program yang dilaksanakan.

SICC adalah majlis yang mewakili lebih 30 NGO masyarakat India di Selangor dan turut dianggotai ahli akademik, ahli perniagaan, bekas kakitangan kerajaan, pendidik serta pemimpin akar umbi untuk membangkitkan isu dan masalah dihadapi masyarakat itu.

'Mitra era kerajaan BN tiada akauntabiliti'

Charles yang merupakan bekas ahli parlimen Klang menegaskan jawatankuasa itu mampu meningkatkan sokongan masyarakat India kepada kerajaan persekutuan dan juga negeri.

"Kita minta kerajaan supaya tukar atau memperbaiki sistem sedia ada. ini akan memberikan motivasi kepada masyarakat India untuk mengundi PH (di masa akan datang)," katanya.

Ditanya jika dia bersetuju dengan pandangan bahawa Mitra tidak pernah dipertanggungjawabkan berhubung kelemahan pelaksanaan program terhadap masyarakat India, Charles turut berpandangan serupa tetapi menegaskan perkara itu sedang diperhalusi oleh kerajaan sekarang.

"Boleh dikatakan pada zaman pentadbiran BN, Mitra tidak mempunyai akauntabiliti, tiada pengauditan. Ini sesuatu yang patut dilakukan.

"Tetapi sekarang dengan pPerdana menteri baru, dia (Anwar) mengatakan ia perlu diaudit dan dikemukakan kepada umum," katanya lagi.

Setakat ini, Mitra hanya pernah diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

Pada September 2022, Anwar berkata PH akan melaksanakan audit forensik terhadap tiga institusi berkaitan masyarakat india, iaitu Mitra, syarikat pelaburan Maika Holdings dan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED).

Pada Januari lalu, Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu R Sri Sanjeevan menggesa kerajaan menyegerakan audit tersebut dan membentangkan hasilnya kepada umum.

Menurut Free Malaysia Today, Sanjeevan berkata hanya audit tersebut yang dapat merungkai dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan badan itu.

'Kritik orang yang ditugaskan, bukan PM'

Mengulas lanjut, Charles berkata kerajaan pimpinan Anwar prihatin terhadap isu berkaitan masyarakat India namun ada kelemahan dari segi pelaksanaan program oleh agensi yang bertanggungjawab.

"Dasar kerajaan amat jelas dalam membantu masyarakat India untuk selesaikan masalah kemiskinan, menangani isu belia dan menyokong kaum wanita. Setiap kumpulan sasar telah dikenal pasti.

"Masalah utamanya adalah pelaksanaan dan pemimpin dalam kerajaan yang bergaduh sesama sendiri.

"Orang yang kita percaya untuk jalankan amanah, (tapi) tidak melakukan kerja. Inilah masalahnya," dakwanya.

Sementara itu, Adun Sentosa Dr Gunaraj George meminta masyarakat India untuk memberi masa kepada Anwar bagi menjayakan perancangan yang telah dirangka kerajaan.

"Misalnya dalam isu penempatan pekerja ladang, isu ini sudah lebih 26 tahun tetapi saya tahu perdana menteri arah untuk selesaikan dan menteri terus buat.

"Ada perkara boleh lulus serta-merta, ada yang tak boleh. Oleh itu kepada pengkritik, kita alu-alukan (kritik) tetapi jangan menabur fitnah.

"Kita perlu beri masa, Anwar baru diberi mandat. Sebelum ini Najib Razak (mentadbir) sembilan tahun dan Dr Mahathir Mohamad pula 22 tahun. Anwar baru setahun lebih," katanya lagi.