Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Bekas Adun nafi sebar dakwaan timbalan menteri tak bayar cukai RM200,000

Bekas Adun Bagan Dalam Satees Muniandy menafikan yang dia memulakan atau menularkan dakwaan bahawa Timbalan Menteri Perpaduan Saraswathy Kandasamy mempunyai tunggakan pembayaran cukai pendapatan hampir RM200,000.

Satees juga menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan pelantikan Saraswathy sebagai timbalan menteri memandangkan dia telah disenaraihitamkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dia berkata semakannya menunjukkan senarai hitam itu hanya ditarik balik hari ini.

“Anwar adalah orang yang tepat untuk menjawab soalan berhubung pelantikan Saraswathy sebagai timbalan menteri.

“Selepas melihat dokumen berkaitan, saya mempersoalkan bagaimana seorang yang telah disenaraihitam oleh LHDN atas kesalahan cukai boleh dinamakan untuk dilantik sebagai senator dan timbalan Menteri, di tengah perdan Menteri bercakap tentang integriti tanpa kompromi.

"Adakah Pejabat Perdana Menteri cuai dalam tapisan keselamatan sebelum pelantikan timbalan menteri atau keputusan tapisan diabaikan?" soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Saraswathy membuat laporan polis terhadap Satees dan portal berita bahasa Tamil tempatan, Makkal Osai yang didakwanya menyebarkan maklumat palsu.

Sebelum ini, Malaysiakini melihat dokumen daripada LHDN yang memberikan Saraswathy "permit sementara" untuk naib presiden PKR itu ke luar negara bagi tujuan perubatan.

Terdapat juga pecahan cukai pendapatan tahunan, dari 2010 hingga 2020, yang dikatakan gagal dilangsaikan oleh Saraswathy.

Sementara itu, Satees mempersoalkan tindakan Saraswathy yang hanya menyasarkan media bahasa Tamil dalam saman fitnahnya, sedangkan Malaysiakini juga turut melaporkan isu sama.

“Berita itu pertama kali diterbitkan oleh Makkal Osai, tanpa menamakan timbalan menteri yang dikaitkan dalam senarai hitam cukai. Hakikatnya, Malaysiakini turut melaporkannya, dan menamakan Saraswathy sebagai timbalan menteri itu serta turut menghubungi LHDN untuk mengesahkan perkara itu.

"Saya ingin bertanya mengapa hanya media bahasa Tamil disasarkan alam saman fitnah sedangkan Malaysiakini menamakannya serta turut disertakan pengesahan," katanya lagi.

Menurut Satees, dia belum dipanggil pihak berkuasa untuk memberi keterangan tetapi akan memberi kerjasama dalam siasatan.

Pada 2 Mei lalu, Saraswathy berkata dia terpaksa mengambil tindakan undang-undang kerana ini kali kedua sebuah portal berita menyebarkan maklumat salah mengenainya.

Makkal Osai melaporkan pihaknya melihat beberapa dokumen, termasuk permit sementara daripada LHDN dan surat yang dikatakan untuk Ketua Polis Negara Razarudin Husain dan Ketua Pengarah LHDN Abu Tariz Jamaluddin yang menyatakan permit itu untuk Saraswathy ke luar negara atas tujuan perubatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!