Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

PSM: Kakitangan awam bermasalah tak perlu dikecuali kenaikan gaji

Pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) berpandangan bahawa kerajaan tidak perlu sampai tahap mengecualikan kenaikan gaji 13 peratus bagi menangani kakitangan awam yang bermasalah.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata ini kerana kakitangan awam ketika ini sudah mempunyai kod etika perkhidmatan awam yang boleh digunakan bagi menangani isu kakitangan yang bermasalah.

“Kakitangan awam sememangnya (tertakluk) ada undang-undang, etika dan bagaimana tindakan disiplin boleh diambil seandainya seseorang penjawat awam itu tidak buat kerja.

“Sudah tersedia SOP (prosedur operasi standard) tentang bagaimana mereka nak pastikan dan menilai pekerja itu rajin atau tidak, perdana menteri tidak perlu sampai ke tahap itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Arutchelvan berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 1 Mei bahawa gaji penjawat awam akan dinaikkan sebanyak 13 peratus bermula Dis tahun ini dengan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Namun, menurut Anwar, kenaikan itu tidak akan dinikmati oleh kakitangan yang bermasalah serta memburukkan nama jabatan mereka.

Pengumuman itu mendapat pujian Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang menyifatkan cadangan itu akan menambah motivasi penjawat awam untuk berkhidmat bersungguh-sungguh.

Namun, Arutchelvan menyelar keseriusan kenyataan perdana menteri mengenai lima peratus penjawat awam bermasalah yang tidak akan menerima kenaikan gaji tersebut.

Menurutnya, lima peratus kakitangan berkenaan bukan satu isu besar sehingga menyebabkan seorang perdana menteri membuat pengumuman sedemikian.

“Kalau lima peratus sahaja, ia bukan satu isu serius kerana mana-mana tempat pun ada peratusan kakitangan yang tidak bekerja dengan baik.

“Kecuali jika perdana menteri mengambil langkah berjaga-jaga kerana penjawat awam memberikan peranan penting dalam membantu kerajaan,” jelasnya.

Arutchelvan menambah bahawa kerajaan seharusnya menumpukan lebih perhatian kepada budaya bodek-membodek antara pihak bawahan dan atasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!