Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Persatuan tuntut gaji awal graduan jurutera RM3,500 hingga RM4,000

Persatuan Jurutera Malaysia (MAE) meminta kerajaan menyelaras standard gaji permulaan graduan dalam bidang kejuruteraan.

Presiden MAE Feroz Hanif Mohamed Ahmad berkata pelarasan ini antara usaha yang dicadangkan dalam menangani kekurangan kira-kira 30,000 tenaga mahir jurutera di Malaysia.

"Kami sokong kerajaan naikkan gaji (graduan) Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), jadi kenapa tidak jurutera? Sebab tanggungjawab (jurutera) lebih besar.

"Kami ingin mencadangkan agar gaji permulaan graduan jurutera juga boleh dinaikkan ke RM3,500 hingga RM4,000," katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.

Tambahnya, pelarasan itu juga bagi disesuaikan dengan kadar gaji di negara-negara serantau dan negara membangun seperti Singapura, Korea Selatan dan Jepun.

Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata program Tvet akan dipertingkatkan bagi menampung kekurangan 30,000 jurutera di negara ini.

Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan tawaran gaji graduan Tvet lebih RM4,000.

Katanya, ia antara perkara yang diberi perhatian dalam usaha memperkasakan institusi Tvet di Malaysia.

"Terdapat saranan agar gaji premium itu bukan berasaskan gaji minimum, tetapi satu tahap tertinggi yang dicadangkan RM4,000 ke atas.

"Untuk itu, secara tidak langsung ini akan menggalakkan para pelajar masuk ke institusi TVET ini," katanya di Dewan Rakyat.

Justeru, kata MAE isu tersebut dipandang serius oleh pemegang-pemegang taruh dalam bidang kejuruteraan.

"MAE selaku pertubuhan yang mewakili kelompok jurutera di Malaysia berharap agar isu ini dapat diatasi segera bagi mengelakkan situasi 'brain drain' yang merugikan negara dalam jangka masa panjang," tambah Feroz.

Pada sidang media tersebut, MAE turut mencadangkan beberapa usaha bagi mengatasi kekurangan tersebut.

Antaranya pengambilan pekerja yang tidak mengikut kelayakan sebenar dan pelarasan yuran firma perunding.

Wujudkan jurutera pelatih

Selain itu, penambahbaikan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) dari segi penguatkuasaan dan pemantauan untuk mengawal selia ekosistem penggajian terutama yang melibatkan sektor swasta.

"Bila penguatkuasaan diperkasakan, kita dapat pastikan ekosistem penggajian dalam keadaan seimbang di mana sektor swasta dapat menggaji jurutera dengan gaji berpatutan dan setara.

"Ia juga dapat memastikan jika berlaku sebarang ketidakpatuhan, tindakan lebih efisien boleh diambil. Tapi, kita faham BEM mungkin ada kekangan tertentu," katanya lagi.

Badan itu turut mencadangkan untuk mewujudkan 'jurutera pelatih' mengikut konsep seperti doktor pelatih (housemanship) bagi menyediakan jurutera berkualiti dan mengikut kehendak industri.

"Berbeza dengan Latihan Industri yang lebih singkat, mungkin tempoh latihan boleh dicadangkan sehingga enam bulan supaya graduan kita dapat mempersiapkan diri dengan kehendak industri.

"Kenaikan gaji harus seiring dengan pengalaman dan kualiti kerja. Kalau kita dapat selesaikan masalah gaji ini kita yakin akan dapat menarik minat graduan ke bidang kejuruteraan.

"Kalau kita tak berjaya tarik minat graduan mungkin (akan datang) kita terpaksa ambil bakat (jurutera) dari negara luar," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!