Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Calon PRM: Jangan tunggang agama, bangsa, tapi tunggang 'seladang'

PRK KKB l Calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainudin menjadi calon pertama melancarkan manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu (KKB).

Hanizah melancarkan manifesto yang mengandungi enam perkara itu di majlis pelancaran bilik gerakan utama PRM di Jalan Ampang Pechah, Rasa, Hulu Selangor pagi tadi.

Katanya, penekanan pertama dalam manifesto itu adalah meningkatkan dan menggalakkan ekonomi kepada pengundi Kuala Kubu Bharu.

"Pertumbuhan ekonomi tanpa riba dan pendapatan warga KKB terutama IKS (industri kecil dan sederhana) dan menwujudkan koperasi komuniti di setiap taman penduduk dan kampung.

"Ini adalah antara janji yang saya akan tunaikan sekiranya menang pada PRK nanti," katanya.

Selain itu, Hafizah juga berkata bahawa dia akan memberi perhatian kepada penubuhan hub teknologi tumbuhan herba bagi tujuan perubatan tradisi tempatan dan menggalakkan warga KKB terlibat dengan aktiviti dan ekonomi eko-pelancongan.

"Keempat mewujudkan pusat khidmat kepada warga KKB yang terjejas akibat eksperimental gene terapi dan vaksin Covid-19.

"Kelima memastikan semua infrastruktur kemudahan awam, bangunan-bangunan kerajaan, balai polis dan sistem perparitan dalam keadaan bersih dan selamat," katanya.

Hafizah berkata janji terakhir adalah meningkatkan peruntukan kebajikan kepada keluarga penjawat awam rendah, wanita, warga emas, OKU dan kanak-kanak.

"Pesanan saya, janganlah tunggang agama, janganlah tunggang bangsa, tungganglah seladang (logo parti PRM) demi rakyat," katanya.

Hafizah akan dicabar oleh calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao, calon PN Khairul Azhari Saut dan calon Bebas Nyau Ke Xin.

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 11 Mei dan 7 Mei untuk pengundian awal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!