Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

MIC-DAP berganding bahu untuk pengundi India sempena Hari Pekerja

PRK KKB | Dalam dunia politik yang menyaksikan kawan dan musuh tidak kekal, pengundi India di Kuala Kubu Bharu semalam menyaksikan dua seteru tradisi - DAP dan MIC - berganding bahu.

Bagaimanapun, ini bukan kali pertama Hulu Selangor menjadi pentas untuk kerjasama itu. Semasa pilihan raya negeri Ogos lalu, veteran DAP Lim Kit Siang disambut sebagai tetamu kehormat pada majlis makan tengah hari MIC Hulu Selangor.

“DAP dan MIC akan bekerjasama untuk memacu negara ini ke arah perpaduan,” kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh kepada kira-kira 600 orang yang menghadiri majlis sempena Hari Pekerja malam tadi yang turut menampilkan persembahan kebudayaan dan artis India tempatan di Dewan Chuang di Rasa.

Turut hadir ialah Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Presiden MIC M Saravanan.

Yang jelas tidak hadir ialah wakil-wakil dari MCA, yang dilihat masih tidak senang dengan DAP.

Bagaimanapun, Zambry memberitahu hadirin bahawa program itu menunjukkan kekuatan kerajaan perpaduan yang lahir daripada gabungan Pakatan Harapan-BN selepas pilihan raya umum lalu.

Sambil menolak dakwaan mengenai perpecahan dalam kerajaan perpaduan, Zambry berkata: "Hari ini, kita dapat saksikan bagaimana kesepaduan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan perpaduan dalam kerajaan ini dan tidak seperti yang dimainkan oleh sesetengah pihak bahawa kerajaan kononnya pecah sesama kita.

"Malam ini terbukti masyarakat India daripada pelbagai parti yang ada berkumpul di sini kerana matlamat kita adalah memastikan calon dari kerajaan perpaduan dapat menang dalam PRK.

"Ini menunjukkan sokongan masyarakat India yang berterusan kepada calon perpaduan sehingga kita menang pada hari mengundi 11 Mei," katanya.

Ketika menyampaikan ucapan, Saravanan meminta pengundi masyarakat India mengundi secara bijak.

"Saya mengakui terdapat rasa tidak rasa hati terhadap kerajaan hari ini. Tapi, ini bukan masa untuk menunjukkan kemarahan kamu.

"Saya tidak akan minta kamu patut undi siapa pada 11 Mei ini. Itu adalah hak kamu. Cuma saya minta jangan undi atau boikot PRK ini kerana rasa marah.

"Jika kamu boikot, baik pihak yang menang atau juga yang kalah tidak akan menghormati kamu. Jika masih tidak puas hati, tunjukkan pada PRU16 nanti," katanya.

Lim yang turut berucap mengambil peluang meminta pengundi masyarakat India mengundi calon PH Pang Sock Tao untuk meneruskan projek-projek pembangunan kerajaan negeri di Kuala Kubu Bharu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!