Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Mahkamah tolak permohonan Guan Eng, isteri batal tuduhan

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersama isterinya, Betty Chew untuk membatalkan pertuduhan rasuah melibatkan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta dan pengubahan wang haram yang dihadapi mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman, Rofiah Mohamad, berkata berikutan itu perbicaraan kes tersebut akan diteruskan. Ini, katanya, memandangkan ada perbezaan ketara dalam kesalahan yang didakwa berlaku melibatkan individu berbeza.

Mahkamah jenayah itu juga menafikan permohonan serupa oleh ahli perniagaan Phang Li Koon.

“(Perbezaan itu termasuk) dari segi tarikh kesalahan yang dikatakan dilakukan; kedudukan (jawatan tertuduh) semasa kesalahan dikatakan dilakukan; suapan yang dikatakan adalah bagi manfaat pihak yang berbeza, tindakan yang dikatakan dilakukan oleh tertuduh bagi melakukan kesalahan adalah berbeza dan jenis kesalahan juga berbeza.

“Oleh itu, syarat pemakaian doktrin iaitu pertuduhan adalah sama atau melibatkan fakta dan pembuktian yang sama dan seharusnya boleh ditangani dalam prosiding pertama tidak dipenuhi. Terdapat perbezaan besar dalam dakwaan kesalahan yang berlaku. Jadi, kes mesti diteruskan,” kata Rofiah.

Ketika dihubungi, peguam Phang, V Sithambaram mengesahkan keputusan itu.

Lim, ketika dihubungi Malaysiakini, berkata dia dan isterinya akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan untuk membatalkan pertuduhan berkenaan.

Pada 23 Jun tahun lalu, Lim dan Chew memfailkan permohonan itu, atas alasan bahawa pertuduhan semasa terhadap mereka adalah serupa seperti yang dikenakan terhadap Lim pada 2016, yang dia kemudiannya dibebaskan pada 2018.

Ini adalah berhubung dakwaan penukaran status tanah negeri dan pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Dalam salinan afidavit yang menyokong permohonan  membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram itu, pasangan suami dan isteri itu mendakwa bahawa pertuduhan sekarang melanggar hak asasi mereka. Ini kerana mereka dikenakan pertuduhan atas kesalahan sama yang mana mahkamah jenayah telah memberikan pembebasan.

Hujah Lim dan Chew, adalah seseorang tertuduh tidak boleh dibicarakan semula atas pertuduhan yang sama atau serupa, berikutan pembebasan atau sabitan.

“Saya dan isteri saya telah pun disiasat berhubung perkara berkaitan pada prosiding kedua (kes jenayah semasa terhadap mereka) pada 2016 seperti yang didedahkan oleh fakta dan penjelasan di atas (dalam kertas kausa).

“Pertuduhan untuk prosiding kedua di mana kesalahan itu adalah sama seperti yang didakwa dalam prosiding pertama (kes jenayah terhadap Lim pada 2016 yang dia dibebaskan pada 2018),” dakwa kedua-dua mereka.

Pertuduhan

Pada 26 Mei tahun lalu, pasukan peguam Lim, Chew dan Phang memaklumkan mahkamah jenayah bahawa mereka akan memohon untuk membatalkan pertuduhan terhadap mereka.

Ia atas alasan bahawa pihak pendakwaan menggunakan keterangan daripada kes terdahulu membabitkan pembelian banglo oleh Lim di Jalan Pinhorn, walaupun dia dibebas dan dilepaskan pada 2018.

Phang, yang didakwa bersama Lim pada 2016, juga dibebaskan pada 2018. Pada 2020, dia diheret sekali lagi ke mahkamah jenayah bersama Lim dan Chew.

Mereka pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 2020. Bagaimanapun kes ketiga-tiga mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi George Town.

Pada 11 Ogos 2020, Lim didakwa - atas kapasitinya sebagai ketua menteri ketika itu dan pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang - menggunakan jawatannya untuk suapan membabitkan RM372,009 untuk isterinya melalui Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Pertuduhan itu mendakwa ini adalah untuk memastikan Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan jemputan untuk mencadangkan projek perkampungan pekerja - di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah, dan sebahagian daripada Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan , Pulau Pinang - yang bernilai RM11,610,000.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Aras 28, Komtar, George Town.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Phang didakwa bersubahat dengan Lim melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh yang sama.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Rofiah berkata jelas dalam prosiding pertama, walaupun 25 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, tiada sebarang dapatan yang dibuat berdasarkan keterangan saksi atau berdasarkan fakta terbukti melalui perbicaraan terbabit mengenai kebersalahan ataupun sebaliknya tertuduh atas pertuduhan yang dikenakan. 

“Hal ini kerana perintah pembebasan dan pelepasan tertuduh dalam prosiding pertama adalah susulan daripada keputusan pihak pendakwaan untuk menghentikan atau tidak meneruskan pendakwaan tertuduh dalam prosiding pertama dengan menarik balik pertuduhan pada tahap kes berkenaan masih lagi di peringkat sambung bicara.

“Pembebasan itu bukan berdasarkan penghakiman oleh mahkamah terhadap keterangan yang ada dalam prosiding pertama atau dalam kata lain arahan pembebasan bukan berdasarkan merit," katanya yang kemudian menetapkan 26 Julai ini bagi pengurusan kes itu.

Lim, Chew dan Pang diwakili barisan pembelaan diketuai Datuk V Sithambaram, RSN Rayer, Ramkarpal Singh, P Thandayuthabany dan A Ruebankumar, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir, Ashrof Adrin Kamarul dan Shafiq Hasim.

Mengikut pertuduhan, Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah menggunakan kedudukan untuk suapan iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan bernilai RM11,610,000 yang Chew secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan terbabit antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar di George Town mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Phang pula didakwa bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Lim dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama dan boleh dihukum di bawah seksyen dan hukuman serupa.

Chew didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,009 daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza antara 7 Oktober 2013 dan 4 Ogos 2014, 3 September 2014 dan 11 Ogos 2015 serta 4 September 2015 dan 3 Mac 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika ditemui pemberita, Rayer berkata pihaknya akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi sebelum memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dan membuat permohonan untuk menggantung perbicaraan di Mahkamah Tinggi sehingga Mahkamah Rayuan membuat keputusan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!