Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Wan Azizah: Kita bukan sempurna, tapi kita mencuba

PRK KKB | Mengakui tidak sempurna, namun bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kerajaan sentiasa cuba menambah baik keadaan.

Bagi membolehkan proses itu dilaksanakan, katanya, pengundi perlu memenangkan calon dari parti kerajaan pada 11 Mei ini.

Bercakap kepada media selepas membantu kempen Pang Sock Tao di Kuala Kubu Bharu hari ini, Wan Azizah berkata tidak ada sesiapa yang sempurna di dalam dunia ini.

Dia berkata demikian sebagai menjawab dakwaan beberapa pihak yang membangkitkan kelemahan kerajaan semasa.

"Memang betul, kita bukan sempurna. Malah, sesiapapun tak sempurna, tapi kita cuba memperbaiki keadaan kita," katanya di majlis pelancaran podcast Suara Perpaduan di pejabat penyelaras parlimen Hulu Selangor di Antara Gapi, Hulu Selangor, hari ini.

Wan Azizah yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak berkata penting untuk pengundi Kuala Kubu Bharu mengekalkan kerusi itu di tangan parti kerajaan agar pembangunan yang dirancang dapat diteruskan.

"Kita minta pengundi pilih yang terbaik (supaya) kita teruskan kesinambungan kerajaan sedia ada.

"Kalau PRU nak pilih yang lain, itu terpulang kepada mereka. Tapi, sekarang saya minta pilih apa yang sedia ada untuk meneruskan perancangan kerajaan," katanya.

Terdahulu Wan Azizah menghadiri pelancaran podcast Suara Perpaduan di Pejabat Penyelaras Parlimen Hulu Selangor di Antara Gapi, Hulu Selangor.

Pada PRK itu Pang akan berdepan tiga lagi calon, iaitu Khairul Azhari Saut daripada PN, Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin (bebas).

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 11 Mei dan 7 Mei untuk pengundian awal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!