Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Dana besar KPM harus berkesan, kata pakar

Kerajaan perlu memastikan peruntukan besar yang disalurkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) benar-benar berkesan dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara, kata pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.

Dia menegaskan, ini kerana KPM antara penerima dana paling besar daripada kerajaan persekutuan.

“Malaysia harus diakui merupakan antara negara yang memberi peruntukan pendidikan terbesar dengan membelanjakan 3.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Namun harus kita semak semula adakah pelaburan ini memberikan pulangan yang besar kepada kita,” katanya kepada Malaysiakini.

Annuar mencadangkan agar peruntukan yang diberikan melalui Belanjawan 2024 memfokuskan kemudahan asas dan infrastruktur seperti meningkatkan bilangan bilik darjah, selain menambah bilangan guru.

“Harus ada keutamaan dalam memanfaatkan peruntukan yang diberi. Pada padangan saya, jangan terlalu banyak peruntukan diberikan kepada program dan acara. Utamakan yang asas dahulu,” katanya.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan UKM itu mengulas laporan terbaru Bank Dunia, 'Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills' yang menggambarkan pembelajaran murid di Malaysia ketinggalan berbanding pelajar Vietnam.

Laporan itu juga menyatakan hanya 58 peratus pelajar di Malaysia mahir membaca menjelang akhir Darjah 5, jauh lebih teruk daripada rakan serantau (34 peratus dalam ekonomi yang serupa).

Pelajar Malaysia juga dilaporkan menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah tetapi pembelajaran bersamaan hanya 8.9 tahun.

Sebaliknya, pelajar Vietnam mencapai 10.7 tahun pembelajaran dalam jangka masa yang sama, menurut laporan itu lagi.

‘Kerajaan jangan tersinggung’

Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) berpandangan laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia ini harus dipandang serius oleh pihak kerajaan.

Pengerusi PIBGN, Prof Madya Mohamad Ali Hassan, menegaskan kerajaan harus membuka mata akan realiti yang berlaku dalam sistem pendidikan negara.

“Laporan ini dikeluarkan oleh badan profesional yang bebas daripada sebarang unsur keberpihakan. Seharusnya pihak kerajaan jangan tersinggung dan segera menilai kembali sistem pendidikan ini yang segera dirombak demi kepentingan masa depan anak kita,” katanya.

Ali mengakui kesan pandemik Covid-19, kekurangan latihan kemahiran guru serta pelajaran atas talian sebelum ini menyumbangkan kepada keputusan laporan itu.

Sementara itu NGO yang memperjuangkan hak pendidikan, Teach For Malaysia (TFM), melihat masalah peratusan literasi membaca yang teruk dalam kalangan murid sekolah Malaysia berpunca daripada kurangnya kemahiran guru dalam meningkatkan literasi dalam kalangan pelajar.

Ketua program TFM, Sawittri Charun, berpandangan kemahiran guru dalam meningkatkan literasi pelajar harus diperbaiki, bukan sahaja untuk subjek bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi juga untuk subjek-subjek seperti Sejarah, Matematik dan Sains.

“Hal ini kerana untuk memahami silibus berkenaan memerlukan literasi pemahaman pembacaan yang mendalam. Hal ini memerlukan sinergi antara guru dalam membincangkan perkara ini,” katanya.

Sawittri berkata setiap pelajar mempunyai kemampuan berbeza untuk memahami sesuatu silibus, namun dilema yang dihadapi oleh guru adalah mereka terpaksa mengejar silibus yang telah ditetapkan oleh KPM.

“Sewajarnya guru diberi autonomi untuk menentukan silibus mana yang harus diutamakan dan diberi penekanan sesuai dengan kemampuan pelajar mereka,” katanya.

Sawittri turut menjelaskan laporan tersebut menunjukkan guru Malaysia lebih banyak menghabiskan masa melakukan kerja tidak berkaitan bilik darjah serta mempunyai jadual yang padat.

“Sewajarnya pihak sekolah jangan membebankan guru dengan urusan tidak berkaitan pembelajaran kelas. Guru harus diberikan fokus untuk melakukan pentaksiran bilik darjah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!