Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Badan Peguam kemuka permohonan ketepi pengurangan hukuman Najib

Badan Peguam Malaysia memfailkan cabaran undang-undang untuk membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman dan denda Najib Razak.

Permohonan itu difailkan firma guaman Amir & Rajpal Ghai bagi pihak badan berkenaan.

Mereka mengemukakan permohonan bagi mendapatkan semakan kehakiman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Mei lalu.

Sebelum ini Badan Peguam Malaysia sudah mengumumkan rancangan mereka memfailkan cabaran mahkamah berkenaan.

Najib sebelum ini dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan jenayah.

Lembaga pengampunan berkenaan kemudian memberikan potongan apabila membenarkan bekas perdana menteri itu dipenjara hanya selama enam tahun, dan denda sebanyak RM50 juta.

Menurut salinan dokumen itu, Badan Peguam menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sebagai responden pertama, manakala Najib sebagai responden kedua.

Badan berkenaan memohon pengurangan tempoh penjara dan denda yang diberikan lembaga terbabit kepada Najib sebagai "menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah."

Badan Peguam juga memohon injunksi kekal untuk menghalang Najib daripada terus mengemukakan sebarang permohonan pengampunan diraja, penangguhan hukum atau kelegaan hukuman kecualilah dia dapat memenuhi tiga syarat ditetapkan.

Kata Badan Peguam, Najib boleh mengemukakan permohonan tersebut selepas proses pendakwaan jenayah dan pertuduhan ke atasnya selesai, mengambil tanggungjawab secara terbuka atas tindakan yang disabitkan ke atasnya sebelum ini, dan menyatakan keinsafan serta penyesalan atas tindakannya dulu.

Permohonan tersebut kemudian ditetapkan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Julai.

Jika permohonan tersebut dibenarkan, mahkamah kemudian akan menentukan tarikh lain bagi mendengar hujahan lisan berhubung merit semakan kehakiman daripada pasukan undang-undang Badan Peguam, lembaga pengampunan dan Najib.

[Baca berita asal]